Enam maut bangunan 21 tingkat runtuh di Nigeria

Bernama
November 2, 2021 14:53 MYT
Misi mencari dan menyelamat sedang berjalan dengan dibantu tentera darat dan udara, dan lebih ramai mangsa dikhuatri terperangkap. - Foto REUTERS
LAGOS: Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh selepas bangunan 21 tingkat yang dalam pembinaan runtuh Isnin petang di bandar Lagos, hab ekonomi Nigeria, menurut seorang pegawai pengurusan kecemasan.
Penyelaras Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan (NEMA) di Lagos, Ibrahim Farinloye ketika dihubungi Xinhua bangunan 21 tingkat yang sedang dibina di kawasan Ikoyi di bandar Lagos itu runtuh kira-kira 3 petang waktu tempatan, dan setakat ini enam mayat telah ditemukan dan empat mangsa lain diselamatkan.
Farinloye berkata misi mencari dan menyelamat sedang berjalan dengan dibantu tentera darat dan udara, dan lebih ramai mangsa dikhuatiri terperangkap.
Beliau berkata punca runtuhan masih belum jelas dan siasatan sedang dijalankan.
Menurut penduduk tempatan kepada Xinhua, bangunan itu sedang dalam pembinaan selama lebih setahun, dan lebih 50 orang, kebanyakannya pekerja binaan, terperangkap di bawah runtuhan.
Kejadian bangunan runtuh sering berlaku di Nigeria kerana sesetengah pemilik dan pemaju hartanah tidak mematuhi undang-undang serta peraturan perancangan dan bangunan. Dalam kebanyakan kes, muatan berlebihan diletakkan di bangunan selain menggunakan bahan yang tidak menepati standard pembinaan.
-- BERNAMA
#bangunan runtuh #Nigeria #Lagos #tertimbus
;