Enam maut asrama pekerja hospital terbakar
Astro Awani
Mei 16, 2023 08:40 MYT
Mei 16, 2023 08:40 MYT
WELLINGTON: Sekurang-kurangnya enam dilaporkan terkorban dalam satu kebakaran di sebuah asrama di Wellington, New Zealand awal pagi Selasa.
Menurut Perdana Menteri Chris Hipkins, angka korban dijangka akan bertambah.
"Saya menerima beberapa laporan yang bercanggah tentang angka kematian namun buat masa ini enam mangsa disahkan maut dalam kejadian itu.
"Angka kematian mungkin akan bertambah namun ia tidak akan melebihi 10 orang," katanya kepada Newshub.
Pengurus Daerah Bomba Wellington, Nick Pyatt berkata pasukan bomba bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan dan berjaya menyelamatkan 52 orang.
Lima orang dikejarkan ke hospital berdekatan namun puluhan lagi mangsa masih dilaporkan hilang.
Menurut pihak berkuasa, kira-kira 100 individu dipercayai berada dalam bangunan tersebut ketika kejadian.
Kata Pyatt, kebanyakan antara mereka merupakan pekerja syif di sebuah hospital dan ketika ini ia sukar untuk menentukan jumlah bilangan yang tepat.
Menurutnya lagi kebakaran bermula di tingkat atas Loafer Lodge di Newtown dan punca kejadian masih dalam siasatan.