Enam bayi baru lahir meninggal dunia akibat cuaca sejuk di Gaza

Agensi
Februari 25, 2025 07:15 MYT
Bayi pramatang ditempatkan dalam inkubator di Unit Rawatan Rapi Neonatal di sebuah hospital di Gaza, pada Selasa. - Gambar AFP
GAZA: Agensi Pertahanan Awam Gaza melaporkan pada Selasa, enam bayi baru lahir telah meninggal dunia akibat gelombang sejuk di Palestin sejak minggu lalu.
“Akibat gelombang sejuk yang melampau dan kekurangan pemanas, kami mencatatkan kematian enam bayi baru lahir dalam tempoh seminggu sehingga hari ini,” kata jurucakap agensi itu, Mahmud Bassal, kepada AFP.
Ahli kaji cuaca melaporkan, suhu telah turun kepada sifar darjah Celsius sejak beberapa hari kebelakangan ini ketika cuaca sejuk melanda kawasan timur Mediterranean.
Walaupun gencatan senjata yang berterusan antara Israel dan Hamas telah meningkatkan jumlah bantuan kemanusiaan yang masuk ke Gaza, ratusan ribu penduduk Palestin masih tinggal di dalam khemah.
Ramai yang berlindung di runtuhan bekas kediaman mereka dan berdepan kesukaran untuk bertahan hidup dalam suhu yang semakin menurun.
Hamas berulang kali menuduh Israel menghalang bahan perlindungan daripada dihantar kepada 2.4 juta penduduk Gaza, kebanyakan mereka telah dipindahkan sekurang-kurangnya sekali sepanjang perang.
Hamas menyalahkan kematian enam bayi baru lahir itu ke atas tindakan Israel yang menyekat bahan bantuan.
“Kami menyeru para perantara untuk segera bertindak menghentikan pelanggaran perjanjian gencatan senjata oleh pihak penjajah... dan memudahkan kemasukan bekalan penting seperti tempat perlindungan, pemanas dan barangan perubatan segera ke Gaza,” kata Hamas dalam satu kenyataan.
“Ini sangat penting untuk melindungi kanak-kanak di Gaza.” - Agensi
#perang Hamas-Israel #bayi baru lahir #cuaca sejuk Gaza #bayi meninggal dunia
;