Empat wanita Thailand tersenarai dalam 'Forbes 50 Over 50: Senarai Asia 2022'
Bernama
Januari 14, 2022 11:50 MYT
Januari 14, 2022 11:50 MYT
BANGKOK: Empat wanita Thailand menempa nama dalam Majalah Forbes 50 over 50: Senarai 2022 Asia.
Mereka termasuk chef dan pemilik restoran bintang Michelin terkenal Raan Jay Fai, Supinya Junsuta, 77, dan Nualphan Lamsam, 55, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Insurans Muang Thai dan pengurus pasukan bola sepak kebangsaan lelaki.
Turut tersenarai dalam Majalah Forbes ialah pengasas bersama dan pengerusi konglomerat logistik dan perindustrian Kumpulan WHA Jareeporn Jarukornsakul, 54 dan Ruenvadee Suwanmongkol, 57, selaku setiausaha agung Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa.
Supinya yang lebih dikenali sebagai "Jay Fai' merupakan chef dan pemilik restoran bintang Michelin Raan Jay Fai di Jalan Mahachai di Bangkok.
Pada 2018, Supinya menempa kemasyhuran apabila gerainya menerima pengiktirafan Michelin Star dalam edisi sulung pengembaraan makanan itu di Bangkok.
Beliau dianugerahkan "Anugerah Ikon" 50 Terbaik, yang pertama buat penjaja makanan jalanan.
Sementara itu, Nualphan, pewaris Bank Kasikorn, mengetuai Muang Thai yang menduduki tempat kedua dalam pasaran insurans Thailand dianggarkan bernilai US$8 bilion.
Nualphan telah membentuk reputasi unik sebagai penyokong tegar pasukan bola sepak Thailand.
Jareeporn ialah penyokong lantang rancangan Thailand membangunkan industri di Koridor Ekonomi Timur.
Di bawah kepimpinan beliau, Kumpulan WHA telah bertindak balas secara dinamik terhadap cabaran ekonomi global dan mempelbagaikan infrastruktur penjagaan kesihatan ketika wabak COVID-19 melanda.
Sementara itu, Ruenvadee merupakan setiausaha agung wanita pertama untuk SEC Thailand pada 2017.
Di bawah kepimpinannya beliau telah mengenakan tindakan tegas terhadap orang dalam bagi kesalahan perdagangan dan penipuan dengan memperkemas penyiasatan jenayah.
Beliau telah bersuara mengenai pergolakan dalam mengurus mata wang kripto dan NFT, serta berusaha memudahkan pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana dan mewujudkan infrastruktur digital bagi pasaran perdagangan korporat.
-- BERNAMA