Empat wanita terpilih bertugas di pejabat pos Antartika

Agensi
Oktober 7, 2022 14:20 MYT
Dianggarkan kira-kira 80,000 kad dan surat dipos ke Antartika setiap tahun dari lebih 100 buah negara. - Facebook / UK Antarctic Heritage Trust
EMPAT orang wanita bakal ditugaskan di pejabat pos paling selatan di dunia, di mana mereka akan dipertanggungjawabkan ke atas semua surat, selain akan turut menjaga koloni penguin gentoo di Antartika.
Mereka terpilih dalam kalangan 6,000 individu yang memohon jawatan berkenaan, yang diiklankan oleh badan amal, UK Antarctic Heritage Trust (UKAHT).
Clare Ballantyne, Lucy Bruzzone, Natalie Corbett dan Mairi Hilton dipilih sebagai satu pasukan yang bertanggungjawab menguruskan pejabat di Port Lockroy yang terletak di Pulau Goudier.
Selama lima bulan, mereka akan berkongsi bilik tidur tanpa kemudahan ruang peribadi dan tandas siram. Sebaliknya, yang ada hanya tandas perkhemahan yang mesti dibersih dan dikosongkan setiap hari.
Tiada akses internet atau telefon bimbit, dan panggilan telefon satelit pula mahal. Kesemua mereka akan mempunyai "akses komunikasi yang sangat minimum dengan keluarga", menurut deskripsi pekerjaan itu pada iklannya.
Salah seorang daripada mereka, Corbett, yang baru mendirikan rumah tangga, akan meninggalkan suaminya dan menganggapnya sebagai "berbulan madu secara solo".
Wanita berusia 31 tahun dari Hampshire itu berkata, dia tidak dapat menolak peluang untuk bekerja di pulau itu.
"Siapa yang tidak mahu menghabiskan lima bulan bekerja di pulau yang dipenuhi dengan penguin, di salah satu tempat paling terpencil di planet ini?" katanya.
Dianggarkan kira-kira 80,000 kad dan surat dipos ke Antartika setiap tahun dari lebih 100 buah negara.
#Antartika #pejabat pos #pulau godier #penguin gentoo
;