Empat terbunuh, lebih 50 cedera bantah hina Nabi

Sinar Harian
Oktober 20, 2019 06:49 MYT
Orang ramai membantu mangsa yang cedera terkena tembakan dilepaskan polis semasa bantahan hina Nabi di Bangladesh pada Ahad. - Foto Sinar Harian
Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan lebih 50 lagi cedera selepas polis melepaskan tembakan terhadap ribuan umat Islam Bangladesh yang membantah kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW di Facebook pada Ahad.
Kenyataan itu didakwa dimuat naik seorang pemuda Hindu sehingga mencetuskan ketegangan di bandar Borhanuddin dalam daerah Bhola yang menyaksikan kira-kira 20,000 penduduk Islam mengadakan protes dan menuntut hukuman bunuh ke atas suspek.
Suspek ditahan pada Sabtu atas tuduhan mencetuskan ketegangan agama.
Sementara itu, polis berkata, mereka terpaksa melepaskan tembakan selepas keselamatan diri diancam apabila penunjuk perasaan mula melontar batu ke arah pihak berkuasa.
Jurucakap Hospital Bhola, Sadar Hospital berkata, kematian mungkin meningkat kerana tujuh daripada 43 mangsa yang cedera kini dalam keadaan kritikal.
Saksi berkata, antara mangsa yang maut adalah pelajar madrasah berusia 14 tahun. - Agensi
#Bangladesh #Bhola #Facebook #hukuman bunuh #Islam #keselamatan #ketegangan agama #lontar batu #mangsa #menghina Nabi #pelajar #polis #protes #suspek #tembakan
;