Empat suspek IS di Indonesia berketurunan Uighur - Polis

Agensi
September 15, 2014 19:13 MYT
Seorang jurucakap polis berkata suspek kini disiasat sama ada mempunyai kaitan dengan kumpulan jihad IS - Gambar Fail
Polis Indonesia hari ini memaklumkan empat warga asing yang ditahan hujung minggu lalu kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Negara Islam, IS adalah berketurunan minoriti Uighur dari China.
Sehari selepas memaklumkan empat suspek lelaki terbabit adalah warga Turki, polis mengatakan hasil siasatan lanjut mendapati suspek memasuki republik itu menggunakan pasport palsu milik negara Turki.
Skuad elit polis telah menahan mereka bersama tiga warga tempatan selepas mengekori kereta yang dinaiki suspek pada Sabtu di Poso ke tengah wilayah Sulawesi, kawasan 'panas' yang sering dikaitkan dengan aktiviti militan.
“Hasil siasatan oleh polis anti keganasan mendapati keempat-empat suspek adalah berbangsa Uighur,” kata jurucakap polis kebangsaan Ronny Sompie kepada wartawan.
“Mereka menggunakan pasport palsu,” tambahnya.
Lelaki terbabit dikatakan membayar orang tengah di Thailand sejumlah US1,000 (RM3,300) dan menggunakan pasport itu untuk memasuki Malaysia dan Singapura, kata Sompie.
Seorang lagi jurucakap polis, Agus Rianto berkata, suspek kini disiasat sama ada mempunyai kaitan dengan kumpulan jihad IS.
Ketua Polis Indonesia, Jeneral Sutarman sebelum ini berkata kumpulan lelaki terbabit ingin mengadakan pertemuan dengan Santoso, pemimpin kumpulan militan dari kumpulan Mujahidin Timur Indonesia yang dipercayai sedang bersembunyi di dalam hutan di Poso.
Indonesia adalah negara dengan penduduk Islam paling ramai di dunia iaitu 225 juta orang dan sering berhadapan ancaman keganasan.
#IS #Islamic State #jihad #mujahidin #Poso
;