Empat Sultan mewakili Tanah Melayu hadir ketika pertabalan Ratu Elizabeth II pada 1952
Fareez Azman
September 9, 2022 17:20 MYT
September 9, 2022 17:20 MYT
KUALA LUMPUR: Kemangkatan Ratu Elizabeth II sebagai pemerintah paling lama dalam sejarah dunia moden sudah tentu meninggalkan pelbagai sejarah dan jasa baginda kepada negara-negara Komanwel.
Mengimbas kembali lipatan sejarah Tanah Melayu, Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah Universiti Malaya (UM), Azharuddin Mohamed Dali menceritakan tentang hubungan antara Ratu Elizabeth II dengan Tanah Melayu ketika baginda ditabalkan sebagai Raja Pemerintah pada tahun 1952.
Ujarnya, empat Sultan yang mewakili Tanah Melayu berkenan hadir ketika pertabalan baginda ketika itu meskipun Tanah Melayu belum mencapai kemerdekaan.
"Saya fikir salah satu perkara paling penting mempunyai kesan langsung daripada peristiwa ini, ialah kedudukan kita sebagai sebuah negara Komanwel.
"Ini mempunyai kaitan langsung dengan perkembangan berlaku sejak negara kita mencapai kemerdekaan 1957. Sedikit sejarah berkaitan dengan baginda Ratu Elizabeth ini, kita di Tanah Melayu belum mencapai kemerdekaan apabila baginda dilantik ataupun memegang pemerintahan pada tahun 1952.
"Ketika pertabalan baginda, terdapat wakil daripada Tanah Melayu iaitu empat Sultan telah pergi ke London untuk meraikan hari pertabalan baginda," jelasnya.
Tambah Azharuddin, keempat-empat Sultan itu ialah Sultan Kelantan, Sultan Johor, Sultan Perak dan Sultan Selangor.
Mengulas mengenai sosok Ratu Elizabeth II, sepanjang memegang takhta, baginda disifatkan berjaya menyatu padukan negara-negara Komanwel sehingga kini.
"Baginda seolah-olah mampu menyatukan dan memastikan negara Komanwel ini mencapai persamaan meskipun taraf antara negara-negara berbeza. Tapi apabila pertemuan dan perjumpaan itu berlaku, baginda menunjukkan tidak ada perbezaan (taraf) antara semua negara anggota," jelasnya lagi.
Tambahnya, legasi yang ditinggalkan mendiang baginda cukup besar dalam memastikan Komanwel terus berfungsi demi kebaikan negara-negara anggota.
"Saya fikir ini merupakan perkara paling penting membolehkan Komanwel terus kekal sampai ke hari ini.
"Kita baru sahaja menyelesaikan Sukan Komanwel 2022, ini secara langsung membuktikan Komanwel itu masih lagi mempunyai fungsi sehingga hari ini, ini sumbangan paling penting turut diberikan mendiang Ratu Elizabeth II," ujarnya lagi.
Meskipun tampuk pemerintahan kini digalas oleh Raja Charles III, tambah Azharuddin lagi, beliau percaya Keluarga Diraja Britain mampu menyesuaikan diri sebagaimana dilakukan oleh mendiang sebelum ini.
Ratu Elizabeth II yang mencatat rekod sebagai pemerintah paling lama dalam sejarah dunia moden, menghembuskan nafas terakhir pada tengah hari Khamis (waktu tempatan).
Baginda mangkat pada usia 96 tahun di Istana Balmoral, Scotland, kata kenyataan Istana Buckingham.
Serentak pengumuman itu , bendera di United Kingdom (UK) dan seluruh Komanwel diturunkan separuh tiang, sementara semua jadual siaran televisyen dan radio dikemas kini, bagi menghormati kemangkatan baginda.