Empat rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel di Tebing Barat
Astro Awani
Oktober 25, 2022 10:40 MYT
Oktober 25, 2022 10:40 MYT
EMPAT rakyat Palestin terbunuh dan hampir 20 yang lain cedera dalam satu serbuan awal pagi Selasa yang dilancarkan tentera Israel di Tebing Barat.
Kementerian Kesihatan Palestin berkata, insiden berlaku di Nablus, sebuah bandar yang diceroboh Israel.
"Tiga mangsa maut dan 19 cedera, tiga daripadanya parah, akibat tembakan Israel di Nablus," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
Ia kemudiannya melaporkan, seorang lagi rakyat Palestin terbunuh ditembak Israel, kali ini di Ramallah.
Tentera Israel bagaimanapun masih belum memberikan sebarang komen mengenai insiden terbaharu itu.
Presiden Palestin Mahmoud Abbas menggesa keganasan terhadap rakyat Palestin dihentikan di Nablus, menurut jurucakapnya Nabil Abu Rudeinah dalam satu kenyataan.
Katanya, pejabat Abbas telah meminta bantuan Amerika Syarikat untuk menghentikan keganasan Israel.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, sekumpulan pejuang muda Palestin, sebahagiannya dikaitkan dengan kumpulan besar seperti Fatah, Hamas dan Islamic Jihad, melakukan operasi anti-Israel dari Nablus.
Kumpulan baharu itu, Areen al-Ossoud atau Den of Lions, mendakwa bertanggungjawab atas serangan yang menyebabkan kematian tentera Israel, dua minggu lalu.
Ketua mereka sebelum ini, Ibrahim al-Nabulsi yang digelar 'Singa Nablus', diketahui mengumpulkan kumpulan belia ini, sebelum dia ditembak mati tentera Israel pada Ogos.
Sejak itu, dia dijulang sebagai hero bagi Palestin di media sosial, menyebabkan tentera Israel bertindak keras di Nablus, termasuk menggunakan dron bagi memerhatikan pergerakan individu keluar masuk di bandar itu.