Empat produk turun berat badan di Singapura mengandungi sibutramine

Bernama
Mac 25, 2021 05:18 MYT
HSA mengingatkan orang ramai supaya tidak membeli atau menggunakan empat produk menurunkan berat badan yang dipasarkan secara dalam talian. - Bernama
SINGAPURA: Pihak Berkuasa Kesihatan Singapura (HSA) mengingatkan orang ramai supaya tidak membeli atau menggunakan empat produk menurunkan berat badan yang dipasarkan secara dalam talian.
HSA dalam kenyataan berkata analisis pihaknya mendapati produk itu mengandungi bahan terlarang sibutramine; sama sekali berbeza daripada senarai ramuan yang tertera pada bungkusan produk itu.
Menurutnya sibutramine adalah ubat penurunan berat badan yang hanya dibenarkan penggunaan menerusi preskripsi sahaja di Singapura, tetapi telah dilarang penggunaannya sejak 2010 disebabkan peningkatan risiko serangan jantung dan strok.
Empat produk itu terdiri daripada 'Flash Slim'; 'Leedee Botanical Beverage Mix Pineapple Juice Powder with African Mango'; 'Quinn S Amyera'; dan 'Schocolite Double Chocolate Cookies Drink with Hoodia Gordinii Extract and L-Carnitine'.
HSA berkata pihaknya telah bekerjasama dengan pihak pentadbiran untuk menyekat penjualan produk itu dan mengeluarkan segera amaran kepada penjual yang terlibat.
"Semua penjual dan pembekal perlu berhenti daripada menjual produk ini dengan segera," katanya.
HSA berkata pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan tegas terhadap sesiapa yang menjual dan membekalkan produk yang didapati mengandungi bahan terlarang.
"Penjual dan pembekal boleh didakwa dan jika disabit kesalahan, boleh dipenjara hingga dua tahun dan, atau didenda hingga S$ 10,000," katanya.
-- BERNAMA
#Singapura #kesihatan #produk #sibutramine #bahan terlarang #pasar #dalam talian #menurunkan berat badan #ramuan #serangan jantung #strok #Pihak Berkuasa Kesihatan Singapura #HSA
;