Empat pendatang asing kritikal akibat ditembak di Perancis
Agensi
Februari 2, 2018 10:35 MYT
Februari 2, 2018 10:35 MYT
Empat pendatang asing tanpa izin (PATI) berada dalam keadaan kritikal akibat ditembak selepas satu perbalahan tercetus antara pendatang dari Eritrea dan Afghanistan di bandar Calais, Perancis pada Khamis.
Menurut pihak berkuasa tempatan, dua lagi PATI mengalami luka yang kurang serius manakala 12 lagi mengalami kecederaan lain.
Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerard Collomb berkata, beliau akan ke Calais pada petang Khamis untuk meninjau situasi yang dianggap serius itu.
“Pihak polis terpaksa campur tangan untuk mempertahankan PATI dari Afghanistan yang diancam oleh 200 PATI dari Eritrea,” ujarnya.
Tambah Collomb, jumlah mangsa yang terlibat mungkin akan bertambah dari angka sedia ada ketika ini.
Perbalahan yang berlaku petang itu melibatkan PATI daripada pelbagai kaum.
Pihak berkuasa berkata, kira-kira 600 PATI yang kini berada di Calais, walaupun pihak kemanusiaan menganggarkan jumlah mereka kira-kira 800 orang.