Empat orang cedera diserang dengan kapak dalam kereta api Perancis
Bernama
November 5, 2024 08:45 MYT
November 5, 2024 08:45 MYT
PARIS: Empat orang cedera diserang dengan kapak kecil di dalam sebuah kereta api tempatan di kawasan Paris, menurut polis pada Isnin, seperti dilaporkan oleh agensi berita Jerman (dpa).
Jurucakap polis berkata serangan di Ozoir-la-Ferriere itu adalah tindakan balas dendam. Dua orang cedera parah, manakala dua lagi cedera ringan. Butiran lanjut mengenai insiden itu masih belum jelas.
Pengendali kereta api SNCF memaklumkan di platform X, insiden berlaku dalam sebuah kereta api di Ozoir-la-Ferriere, dan polis serta bomba berada di lokasi kejadian. Tiada butiran lanjut diberikan, namun beberapa perkhidmatan kereta api dibatalkan ekoran insiden itu.
Media Perancis melaporkan serangan bermula dengan pertengkaran di dalam kereta api, mengakibatkan seorang individu cedera di kepala dan seorang lagi kehilangan tangan akibat serangan berkenaan.
-- BERNAMA