Empat negara Teluk heret Qatar ke ICJ
Sinar Harian
Jun 28, 2018 11:22 MYT
Jun 28, 2018 11:22 MYT
Musuh serantau Qatar termasuk Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) hari ini berkata, bahawa mereka akan memfailkan aduan kepada mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan dakwaan negara Teluk itu melakukan pelanggaran ruang udara.
Pihak yang terlibat dalam krisis diplomatik serantau itu yang menyaksikan kumpulan diketuai Saudi memutuskan semua hubungan dengan Qatar tahun lepas akan mengemukakan aduan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda.
Arab Saudi, UAE, Bahrain dan Mesir memutuskan untuk menghantar kes ruang udara itu ke ICJ atas alasan Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) tidak mampu mengendalikan pertikaian itu, kata media Saudi dan UAE.
UAE sudah memfailkan dua aduan kepada ICAO ke atas Qatar yang didakwanya melakukan pelanggaran ruang udara yang mengancam keselamatan penerbangan awam.
UAE menuduh Qatar menghantar pesawat pejuang untuk memintas pesawat dan helikopter komersial di ruang udara Bahrain.
Doha menafikan kejadian itu.
Kumpulan diketuai Saudi memutuskan semua ikatan dengan Qatar pada 5 Jun 2017 menuduh negara kecil Teluk itu menyokong keganasan dan Iran, tuduhan yang turut dinafikan Doha.
Kemelut diplomatik itu menyebabkan negara Teluk itu terasing daripada jiran-jirannya dengan satu-satunya jalan sempadan darat ditutup, syarikat penerbangan negara dihalang menggunakan ruang udara negara sekitar dan warga Qatar diusir daripada negara terlibat. – AFP
#Arab Saudi
#ICJ
#Iran
#keganasan
#keselamatan
#krisis diplomatik
#Mahkamah Keadilan Antarabangsa
#PBB
#Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
#pesawat
#putus hubungan
#Qatar
#UAE