Empat negara ASEAN alami 26 bencana minggu lepas - Pusat AHA

Bernama
Disember 5, 2023 06:30 MYT
Aktiviti letusan gunung berapi Gunung Marapi di Sumatera Barat turut dilaporkan pusat itu dalam maklumat terkini mingguannya. - Gambar REUTERS
JAKARTA: Empat negara ASEAN - Indonesia, Malaysia, Filipina dan Thailand - menyaksikan 26 kejadian bencana minggu lepas, menurut Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Bagi Pengurusan Bencana ASEAN (AHA Centre).
Agensi pengurusan bencana Indonesia BNPB melaporkan, banjir, tanah runtuh dan kejadian berkaitan angin di Aceh, Banten, Jakarta, Jawa Barat, Jawa Timur, Lampung, Sumatera Barat dan Sumatera Utara.
Selain itu, aktiviti letusan gunung berapi Gunung Marapi di Sumatera Barat turut dilaporkan pusat itu dalam maklumat terkini mingguannya.
Setakat Isnin, impak aktiviti gunung berapi mengakibatkan 11 maut, 26 orang hilang dan sembilan cedera, dengan pihak berkuasa mengambil tindakan yang perlu untuk menangani situasi itu.
AHA Center berkata, pengurusan bencana Filipina NDRRMC merekodkan insiden banjir di Wilayah II dan XI, serta gempa bumi berukuran 7.4 magnitud di Surigao del Sur pada 2 Dis.
Institut gunung berapi negara, PHIVOLCS, juga melaporkan 1,279 gempa susulan bermagnitud antara 1.4 hingga 6.6.
Gempa bumi itu telah menjejaskan 2,600 individu daripada 529 keluarga, seorang maut dan dua cedera manakala enam rumah dan dua jambatan rosak.
Di Malaysia, agensi pengurusan bencana NADMA melaporkan banjir di Johor dan Kelantan, manakala Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana di Thailand melaporkan kejadian angin kencang dan banjir di beberapa kawasan di wilayah Selatan. - BERNAMA
#bencana #negara asean #AHA Centre #gunung marapi
;