Empat mayat ditemui, 71 diselamatkan dalam insiden feri karam di Bali
Agensi
Mac 6, 2016 08:48 MYT
Mac 6, 2016 08:48 MYT
Sekurang-kurangnya empat mayat telah berjaya ditemui pihak penyelamat pada Sabtu dalam insiden feri karam di perairan Pulau Bali.
Ferri Rafelia 2 itu dikatakan menghadapi masalah ketika melalui Selat Bali pada Jumaat.
Bagaimanapun 71 yang lain berjaya diselamatkan.
Ia dalam perjalanan dari pelabuhan Gilimanuk di Bali ke Ketapang di Jawa Timur sebelum tiba-tiba menyendeng dan karam.
Menurut Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Jawa Timur, Johan Saptadi seorang mangsa wanita ditemui dalam keadaan berpelukan dengan anaknya.
Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Bali, Didi Hamzar pula berkata menurut senarai penumpang, seramai 51 orang terdiri dari penumpang dan 14 anak kapal, berada di dalam feri terbabit yang menghubungkan Pulau Bali dan Jawa, sebelum kebocoran dikesan.
Namun pada kebiasaannya ia membawa lebihan penumpang yang tidak disenaraikan.
Punca kejadian kini disiasat.
Indonesia dengan seramai 256 juta orang terpaksa menggunakan pengangkutan bot dan feri untuk membawa mereka ke 17,000 pulau yang berselerakan.
Kemalangan laut adalah kebiasaan di republik itu dan undang-undang juga tidak dilaksanakan dengan ketat.