Empat maut, empat parah dalam dua insiden keganasan di Narathiwat
Bernama
September 28, 2021 21:37 MYT
September 28, 2021 21:37 MYT
NARATHIWAT: Empat termasuk dua anggota polis dan seorang tentera laut maut manakala empat lagi cedera parah dalam dua insiden keganasan di Narathiwat, selatan Thailand hari ini.
Ketua Polis Narathiwat Pol. Mej Jen Narin Busaman berkata sebutir bom buatan sendiri diletupkan di Kampung Namwong di daerah Chanae, menyebabkan dua anggota polis maut di tempat kejadian.
Beliau berkata kejadian itu belaku kira-kira 2.15 petang (waktu tempatan) ketika lapan anggota polis menaiki dua pikap dalam perjalanan pulang ke Balai Polis Chanae.
"Ketika melalui tempat kejadian, bom buatan sendiri yang dipercayai ditanam di jalan raya diletupkan menyebabkan kedua-dua pikap itu melambung sejauh 50 meter dan remuk.
"Dua anggota polis ditemukan maut di tempat kejadian manakala empat lagi cedera parah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Narin berkata seorang anggota tentera laut maut dalam kejadian berbalas tembakan di ladang kelapa sawit di daerah Bacho, kira-kira 11.20 pagi (waktu tempatan) hari ini.
Beliau berkata pasukan keselamatan mengepong ladang kelapa sawit yang dipercayai tempat bersembunyi sekumpulan anggota militan.
"Dalam insiden berbalas tembakan itu, seorang anggota militan turut ditemukan maut di tempat kejadian... operasi masih diteruskan," katanya.
-- BERNAMA