Empat mati akibat jangkitan Hepatitis C di Singapura

AFP
Oktober 6, 2015 07:45 MYT
Menteri Kesihatan Singapura telah menubuhkan satu jawatankuasa bebas untuk menyemak hasil siasatan dalaman yang dijalankan oleh hospital itu. - Gambar Fail
Hospital Besar Singapura (SGH), pada Selasa memohon maaf selepas 22 pesakit buah pinggang dirawat di hospital kerajaan itu dijangkiti Hepatitis C dengan empat daripada mereka dilaporkan meninggal dunia iaitu insiden yang jarang berlaku di hospital itu.
Jangkitan yang berlaku di hospital terbesar negara itu melibatkan pesakit yang dirawat di salah satu wad di hospital itu di antara bulan April dan Jun lalu.
Pegawai hospital itu berkata, mereka tidak dapat menolak kemungkinan jangkitan Hepatitis C mungkin merupakan salah satu faktor membawa kepada kematian empat pesakit terbabit.
"Kami memohon maaf atas kesedihan, penderitaan dan tekanan mental yang ditanggung oleh keluarga pesakit terbabit," kata Ketua Eksekutif SGH, Ang Chong Lye dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menteri Kesihatan Singapura telah menubuhkan satu jawatankuasa bebas untuk menyemak hasil siasatan dalaman yang dijalankan oleh hospital itu.
Sistem rawatan kesihatan di Singapura merupakan antara yang terbaik di Asia dengan kesemua hospital kerajaan mendapat pembiayaan yang mencukupi.
Pesakit dari seluruh dunia datang ke Singapura untuk mendapatkan rawatan di SGH dan hospital-hospital lain.
Lembaga Pelancongan Singapura berkata, pesakit dari luar negara telah membelanjakan S$832 juta (RM2.5 bilion) pada 2013 untuk mendapatkan rawatan di republik berkenaan.
Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dalam laman webnya melaporkan virus Hepatitis C merebak dalam darah dan kes jangkitan biasa adalah melalui amalan suntikan yang tidak selamat', peralatan perubatan tidak disteril, pemindahan darah dan produk-produk berkaitan darah.
Menurut WHO, kira-kira setengah juta penduduk dunia meninggal dunia setiap tahun akibat penyakit yang ada kaitan dengan Hepatitis C.
#Hepatitis C #Pertubuhan Kesihatan Dunia #Singapura #WHO
;