Empat lelaki ditangkap cuba pecahkan mesin ATM di zon bencana Palu
Agensi
Oktober 1, 2018 23:10 MYT
Oktober 1, 2018 23:10 MYT
Ketika ribuan orang di Palu, Sulawesi Tengah gundah gulana akibat impak gempa bumi dan tsunami hingga kehilangan harta benda serta nyawa, ada sesetengahnya pula yang mengambil kesempatan untuk melakukan jenayah.
Portal berita Detik.com melaporkan, polis tempatan menangkap empat lelaki kerana dipercayai cuba mencuri wang tunai dari sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di zon bencana tersebut.
“Keempat-empat mereka yang berusia antara 17 hingga 36 tahun telah ditaham. Ketika ini mereka di lokap polis daerah,” ujar pegawai perhubungan masyarakat Polis Indonesia Setyo Wasisto pada Isnin.
Setyo menjelaskan, percubaan memecahkan ATM itu bukan hanya dilakukan oleh empat suspek tersebut.
“Sejumlah orang cuba memecahkan ATM secara beramai-ramai. Sudah ada lima kes percubaan memecahkan ATM yang diketahui pihak polis,” ujarnya.
Bagaimanapun, jelas Setyo, semua percubaan tersebut telah digagalkan anggota pihak berkuasa.
Mesin ATM yang menjadi sasaran perlakuan jenayah itu adalah milik Bank Mandiri, BCA, BRI, dan Danamon.
Untuk mengelakkan kejadian seumpamanya berulang, anggota polis telah ditempatkan di lokasi-lokasi terdapat ATM.