Empat kanak-kanak maut terpelanting dari belon istana
Astro Awani
Disember 16, 2021 14:22 MYT
Disember 16, 2021 14:22 MYT
TASMANIA: Sekurang-kurangnya empat kanak-kanak maut manakala beberapa yang lain cedera parah selepas terpelanting ketika bermain dalam permainan belon istana.
Kejadian pada Khamis itu dilapor berlaku ketika hari sukaneka sebuah sekolah rendah di Devonport, Tasmania di Australia, lapor media antarabangsa.
Polis memaklumkan, kanak-kanak malang itu terjatuh dari ketinggian kira-kira 10 meter selepas terpelanting apabila belon istana ditiup angin kuat.
Pihak berkuasa tidak menyatakan usia dan jumlah kanak-kanak yang terlibat, tetapi mengesahkan sebilangan besar lagi cedera parah.
Komander Polis Tasmania Debbie Williams menyifatkan kejadian itu sebagai amat menyedihkan.
"Tiupan angin kuat menyebabkan belon istana terangkat ke udara," katanya kepada pemberita di luar Sekolah Rendah Hillcrest.
Perdana Menteri Australia Scott Morrison dalam pada itu menyifatkan tragedi sebagai "menyayat hati".