Empat dekad dalam kurungan, Kiska 'paus paling kesepian' ditemukan mati

Agensi
Mac 12, 2023 13:40 MYT
Kiska menghabiskan masa lebih empat dekad dalam kurungan di Marineland, zoo dan taman hiburan yang terletak di Niagara Falls. - Reuters
KISKA, paus pembunuh dalam kurungan terakhir di Kanada, dilaporkan mati Khamis lalu, menurut media tempatan.
Haiwan itu menghabiskan masa lebih empat dekad dalam kurungan di Marineland, zoo dan taman hiburan yang terletak di Niagara Falls, selepas ditangkap di perairan Iceland pada 1979 bersama Keiko, bintang filem "Free Willy".
Berita kematian Kiska muncul empat tahun selepas Kanada secara rasmi melarang paus, dolfin, dan lumba-lumba daripada dibiakkan atau ditahan dalam kurungan.
Kehidupan Kiska dalam pengasingan menyebabkan Projek Perlindungan Paus menggambarkannya sebagai "paus paling sepi di dunia."
Kumpulan hak asasi haiwan melaporkan bahawa Kiska mati akibat jangkitan kuman. Bagaimanapun, tiada pengesahan dibuat mana-mana pihak setakat ini.
Aktivis kebajikan haiwan telah menjawab berita kematian itu dengan kebimbangan mengenai layanan terhadap orca itu semasa dalam kurungan.
"Sungguh menyayat hati apabila mengetahui bahawa Kiska tidak akan berpeluang untuk dipindahkan ke kawasan perlindungan paus, dan merasai kebebasan yang seharusnya ia perolehi," kata Pengarah Eksekutif Animal Justice, Camille Labchuk kepada CBC.
Terdapat sekurang-kurangnya 55 paus pembunuh dalam kurungan di taman laut di seluruh dunia setakat 9 Januari, menurut Pemuliharaan Paus dan Lumba-lumba.
#kiska #paus paling kesepian #free willy keiko #Orca
;