COLUMBIA: Dua individu cedera dalam satu insiden tembakan di luar perkarangan Stadium Nationals Park di Columbia, Amerika Syarikat pada Sabtu malam.

Menurut Jabatan Polis Metropolitan, insiden berkenaan kini dalam siasatan dan tiada ancaman lain dilaporkan.

Nationals Park merupakan sebuah stadium besbol profesional di daerah itu.

Laporan lanjut berkenaan keadaan dua mangsa itu belum didedahkan pihak polis.

Dalam kemas kini terbaharu polis, dua lagi mangsa dilaporkan sedang menerima rawatan di sebuah hospital berdekatan akibat ditembak.


Menurut laporan Reuters, kejadian berlaku ketika satu perlawanan antara pasukan Washington Nationals dan San Diego Padres sedang berlangsung.

Perlawanan tersebut turut ditangguhkan susulan kejadian berkenaan.

Dalam pada itu pasukan Washington Nationals memaklumkan dalam satu ciapan di akaun Twitter, insiden tembakan berkenaan dilaporkan berlaku di luar pagar stadium dan semua peminat digesa untuk meninggalkan kawasan itu.


Kenyataan itu turut berkata mereka akan memberi kerjasama sepenuhnya dengan pihak polis berkenaan insiden tersebut.