Empat cedera, hartanah rosak angin kencang landa Malang, Sulawesi Selatan berisiko banjir
Bernama
Ogos 15, 2022 13:51 MYT
Ogos 15, 2022 13:51 MYT
JAKARTA: Sekurang-kurangnya empat orang cedera dan berpuluh-puluh rumah rosak akibat angin kencang dan hujan lebat yang melanda empat daerah di Malang, Jawa Timur, Sabtu lepas.
Atap 43 buah rumah dan lima sekolah rosak, menurut jurucakap Agensi Pencegahan Bencana Negara Abdul Muhari.
Pegawai perbandaran, sukarelawan dan penduduk masih membersihkan kawasan yang terjejas, katanya dalam satu kenyataan.
Visual yang dikongsi oleh agensi menunjukkan bumbung rumah yang tercabut, manakala pokok tumbang menimpa kenderaan dan menghalang jalan.
Sementara itu, tujuh daerah di Kota Palop, Sulawesi Selatan kini pulih daripada banjir akibat hujan lebat pada Jumaat lalu.
Kira-kira 201 rumah dan empat buah sekolah terjejas apabila paras air naik dengan cepat antara 50 dan 70 sentimeter, kata Abdul Muhari.
Beliau berkata hasil pemantauan menunjukkan banjir di beberapa kawasan telahpun surut, manakala jalan raya kembali dibuka.
Bagaimanapun, agensi meteorologi memberi amaran hujan lebat dan angin kencang akan berlaku pada Isnin di seluruh wilayah, katanya.
-- BERNAMA