Empat anggota tentera Myanmar maut selepas pesawat dinaiki terhempas
AFP
Februari 10, 2016 17:19 MYT
Februari 10, 2016 17:19 MYT
Empat anggota tentera Myanmar terbunuh manakala seorang lagi cedera parah selepas sebuah pesawat milik tentera udara negara itu terhempas di Naypyidaw pada Rabu.
Menurut laporan AFP, pesawat jenis Beechcraft , yang membawa lima anak kapal itu dipercayai sedang membuat rondaan rutin sebelum terhempas di sebuah padang berhampiran lapangan terbang.
Kementerian Penerangan Myanmar berkata seorang anggota tentera berpangkat timbalan korporal merupakan satu-satunya mangsa yang terselamat dalam kejadian malang itu.
“Beliau telah dihantar ke Hospital Tentera dan api pesawat itu berjaya dipadamkan dengan bantuan tiga trak bomba,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan di laman Facebooknya.
Kementerian itu turut berkongsi beberapa keping gambar pesawat itu.
Myanmar mempunyai sektor penerbangan yang sibuk, sebahagiannya untuk mengimbangi infrastruktur jalan raya dan kereta api yang tidak seberapa di negara itu.
Walaupun berita kemalangan udara pesawat tentera adalah agak jarang berlaku, terdapat beberapa insiden yang melibatkan pesawat komersil sejak kebelakangan ini.
Pada bulan Julai lalu, pesawat Air Bagan ATR 72 dengan enjin turboprop berkembar yang membawa 49 penumpang tergelincir di landasan selepas mendarat dalam hujan lebat di Lapangan Terbang Antarabangsa Yangon.