Emir Kuwait bubar Parlimen yang dipilih sebulan lalu - Dekri

Bernama
Mei 11, 2024 06:45 MYT
Sheikh Mishal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah, pada petang Jumaat mengeluarkan dekri membubarkan Parlimen yang dipilih pada awal April.
DOHA: Emir Kuwait, Sheikh Mishal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah, pada petang Jumaat mengeluarkan dekri membubarkan Parlimen yang dipilih pada awal April, lapor Sputnik.
"Berdasarkan kepentingan tertinggi negara, kami memerintahkan yang berikut: pertama, membubarkan Parlimen, dan kedua, menggantung operasi beberapa klausa Perlembagaan selama tidak lebih dari empat tahun," menurut dekri yang dibacakan di Televisyen Pusat Kuwait.
Selain itu, Sheikh Mishal memutuskan bahawa beberapa kuasa Parlimen akan dipindahkan kepada Emir Kuwait dan kerajaan.
Sebagaimana titah baginda selepas pembubaran Parlimen, Sheikh Mishal bertitah "tidak akan membenarkan demokrasi digunakan untuk memusnahkan negara."
Pilihan raya awal Parlimen Kuwait telah diadakan pada 4 April untuk kali kelima dalam tempoh dua tahun berikutan konflik antara cabang eksekutif dan perundangan negara itu. - BERNAMA
#Kuwait #Emir Kuwait bubar Parlimen #pilihan raya #Sheikh Mishal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah
;