Elon Musk tawar beli OpenAI hampir AS$100 Billion, Sam Altman kata “no thank you”
Agensi
Februari 11, 2025 09:00 MYT
Februari 11, 2025 09:00 MYT
Musk (kanan) yang telah lama berselisih faham dengan Altman mengemukakan beberapa aduan undang-undang terhadap syarikat itu dan Altman dengan mendakwa OpenAI telah menyimpang daripada piagam asalnya dengan mengejar keuntungan melalui alat AI mereka.
DALAM satu tawaran berisiko tinggi yang boleh mengubah landskap masa depan kecerdasan buatan (AI), Elon Musk mengetuai sekumpulan pelabur untuk membeli OpenAI, syarikat induk ChatGPT, dengan nilai $97.4 bilion.
Musk, yang telah lama berselisih faham dengan Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Sam Altman telah mengemukakan beberapa aduan undang-undang terhadap syarikat itu dan Altman mendakwa, OpenAI dan kepimpinannya telah salah menggambarkan syarikat itu sebagai organisasi kebajikan.
Musk menegaskan, OpenAI telah menyimpang daripada piagam asalnya dengan mengejar keuntungan melalui alat AI mereka.
OpenAI dikendalikan oleh sebuah badan bukan berasaskan keuntungan yang mengawal entiti OpenAI LP iaitu sebuah syarikat berasaskan keuntungan yang wujud dalam struktur syarikat yang lebih besar.
Syarikat ini telah berkembang daripada hampir tidak bernilai kepada penilaian sekitar $100 bilion dalam tempoh beberapa tahun sahaja dan Altman dianggap sebagai perancang utama kejayaan tersebut.
Pelaburan besar daripada Musk, yang pertama kali dilaporkan oleh Wall Street Journal, boleh memberikannya kawalan majoriti ke atas syarikat tersebut, sekali gus meletakkan OpenAI sebagai pesaing utama syarikat AI miliknya sendiri, X.AI.
“Jika Sam Altman dan Lembaga Pengarah OpenAI, Inc. ingin menjadi syarikat berasaskan keuntungan sepenuhnya, adalah penting agar organisasi kebajikan ini diberikan pampasan yang adil atas apa yang telah diambil: kawalan ke atas teknologi paling transformatif dalam era ini,” kata Marc Toberoff, peguam yang mewakili pelabur, dalam satu kenyataan.
“Sudah tiba masanya OpenAI kembali kepada matlamat asalnya - sumber terbuka, fokus pada keselamatan dan berkhidmat untuk kebaikan bersama. Kami akan pastikan perkara ini berlaku.”
Sebagai tindak balas, Altman memuat naik kenyataan di X: “Tidak, terima kasih. Tapi kami sudi beli Twitter dengan harga $9.74 bilion jika anda mahu.”
Musk, yang merupakan pengasas bersama OpenAI pada 2015, telah meninggalkan syarikat tersebut selepas berlaku perselisihan mengenai peralihan OpenAI ke arah model berasaskan keuntungan.
OpenAI ditubuhkan dengan kepercayaan bahawa kecerdasan am buatan (AGI) boleh menjadi ancaman serius kepada manusia.
Syarikat ini membentuk lembaga pengawasan untuk menilai setiap produk yang dihasilkan dan pada asalnya kod produknya diterbitkan secara terbuka.
Namun, dengan sokongan pelabur besar seperti Microsoft dan firma modal teroka Thrive Capital, syarikat ini terpaksa berkembang dan menjana keuntungan.
Pelabur mahukan pulangan pelaburan yang pantas dan desakan ini mungkin mendorong Altman untuk mempercepatkan pembangunan produk dan melancarkan teknologi AI lebih awal.
Dalam tradisi "bergerak pantas dan melanggar batas" di Silicon Valley, produk awal ini kadangkala tidak berfungsi dengan baik.
Hal ini menjadi lebih merisaukan apabila melibatkan teknologi AI yang mampu meniru percakapan dan tingkah laku manusia sehingga boleh mengelirukan orang ramai dengan perbualan dan imej palsu.
Pada hujung 2023, OpenAI berdepan krisis dalaman apabila lembaga pengarahnya memecat Altman, namun kemudian mengambilnya semula tidak lama selepas itu.
Lembaga pengarah juga telah distrukturkan semula, dengan bekas ahli lembaga menyuarakan kebimbangan bahawa OpenAI bergerak terlalu pantas tanpa mengambil kira aspek keselamatan.
Musk pertama kali menyaman OpenAI pada Jun 2024, tetapi beliau menarik balik saman tersebut selepas OpenAI menerbitkan catatan blog yang mendedahkan beberapa e-mel lama antara Musk dan OpenAI.
E-mel tersebut menunjukkan Musk mengakui keperluan untuk mendapatkan dana besar bagi membiayai infrastruktur AI - bertentangan dengan dakwaannya dalam saman bahawa OpenAI tidak sepatutnya mengejar keuntungan.
Namun begitu, Musk memfailkan saman baharu pada Ogos 2024, menuduh OpenAI berlumba untuk membangunkan teknologi AGI demi memaksimumkan keuntungan.
Beliau juga mendakwa, syarikat itu terlibat dalam aktiviti pemerasan.
Sementara itu, OpenAI menuduh Musk cemburu kerana tidak lagi terlibat dalam syarikat tersebut selepas beliau meninggalkannya pada 2018, susulan kegagalannya meyakinkan pengasas bersama lain untuk membenarkan Tesla mengambil alih OpenAI. - Agensi