Elon Musk ‘dicarut' isteri Presiden Brazil
Agensi
November 19, 2024 12:30 MYT
November 19, 2024 12:30 MYT
RIO DE JANEIRO: Isteri Presiden Brazil, Janja Lula da Silva, mencetuskan kontroversi apabila melemparkan kata-kata kesat terhadap bilionair Elon Musk pada sebuah acara sempena berlangsung Sidang Kemuncak 20 (G20), di sini, hujung minggu lalu.
Dalam ucapannya yang menekankan keperluan untuk mengawal selia media sosial bagi membendung penularan maklumat palsu, beliau secara berseloroh berkata: “Saya rasa itu Elon Musk” apabila terdengar bunyi hon kapal.
Beliau kemudian menegaskan: “Saya tidak takut dengan awak. Pergi jahanam, Elon Musk.”
Pemilik platform media sosial X, Musk, kemudian membalas carutan itu dengan memuat naik emoji ketawa di akaun rasminya setelah video ucapan tersebut tular.
Dalam hantaran lain, Musk berkata: “Mereka akan kalah dalam pilihan raya akan datang,” dipercayai merujuk kepada suami Janja, Presiden Luiz Inacio Lula da Silva.
Ucapan Janja itu sekali gus meningkat ketegangan di antara Musk dan Brazil terutama apabila platform X digantung selama sebulan pada ini di negara itu selepas gagal mematuhi undang-undang tempatan termasuk arahan mahkamah untuk menyekat akaun yang menyebarkan “berita palsu” dan mesej kebencian.
X kemudian dibenarkan beroperasi semula bulan lalu selepas bersetuju untuk mematuhi peraturan mahkamah Brazil.
Insiden ini adalah antara beberapa konflik terbaharu antara Musk, yang sering mengangkat dirinya sebagai pejuang kebebasan bersuara ketika kerajaan seperti Australia serta United Kingdom yang berusaha membanteras penyebaran maklumat salah dalam talian.
Presiden Brazil sebelum ini turut mengulas isu tersebut dengan menegaskan, mana-mana syarikat yang beroperasi di Brazil mesti mematuhi undang-undang tempatan.
Beliau juga menyindir bahawa dunia tidak perlu “bertolak ansur dengan ideologi sayap kanan Musk hanya kerana dia kaya.” - Agensi