Elon Musk beri bayangan kenakan bayaran untuk guna X
Agensi
September 20, 2023 18:09 MYT
September 20, 2023 18:09 MYT
Jutawan teknologi Elon Musk berkata platform X yang sebelum ini dikenali sebagai Twitter, sedang mempertimbangkan untuk meminta penggunanya membayar sejumlah bayaran bulanan yang kecil untuk menggunakan platform tersebut.
Musk membuat kenyataan itu semasa perbualan dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengenai kecerdasan buatan, yang disiarkan secara langsung awal minggu ini.
Kata Musk, bayaran itu bertujuan untuk menghalang aplikasi perisian yang dikenali sebagai bot.
Bot melakukan tugasan berulang mengikut arahan khusus untuk meniru tingkah laku manusia tetapi lebih pantas dan lebih tepat.
"Ini satu-satunya cara yang boleh saya fikirkan untuk memerangi 'tentera' bot," katanya.
Musk bagaimanapun tidak memperincikan jumlah bayaran yang akan dikenakan untuk menggunakan X, tetapi berkata jumlahnya tidak besar.
"Kami akan mencadangkan pelbagai tingkat harga.... Ini memerlukan perbincangan yang lebih panjang, tetapi pada pandangan saya, ini satu-satunya cara mengelakkan X dipenuhi bot," katanya.
Ketika ini, X mempunyai perkhidmatan langganan premium di mana ia mengenakan bayaran kepada pengguna untuk ciri tertentu, termasuk dapat mengedit siaran dan mengutamakan kedudukan dalam perbualan dan carian.