Elon Musk belanja lebih RM1.3 bilion untuk Pilihan Raya Presiden AS 2024
Agensi
Februari 1, 2025 07:40 MYT
Februari 1, 2025 07:40 MYT
WASHINGTON: Bilionair Elon Musk telah membelanjakan lebih daripada AS$290 juta (RM1.3 bilion) untuk Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2024, menurut fail yang direkodkan Suruhanjaya Pilihan Raya Persekutuan (FEC).
Musk membuat ‘pelaburan’ berkenaan sebagai tanda sokongan kepada Presiden Donald Trump dan parti Republikan dalam usaha luar biasa yang telah memberikannya akses tanpa precedent (duluan) kepada pentadbiran baharu.
Pemfailan hujung tahun yang merangkumi lima minggu terakhir tahun ini, turut mendedahkan perebutan pengaruh ketika pentadbiran baharu bersiap sedia untuk mengambil alih kuasa.
Jawatankuasa kempen lama Trump - yang telah ditukar menjadi akaun baharu bagi membolehkannya terus berpengaruh dalam politik meskipun terhad kepada dua penggal - telah mengumpulkan hampir AS$21 juta (RM93.45 juta) dalam tempoh tersebut.
Sementara itu, sebuah jawatankuasa tindakan politik (PAC) yang juga sekutu utama kempen Presiden Trump menerima beberapa sumbangan berjuta dolar termasuk AS$1 juta (RM4.45 juta) daripada calon Duta ke United Kingdom (UK) yang diumumkan pada hari sama beliau dicalonkan.
Selain itu, pemfailan ini menunjukkan bagaimana parti-parti politik dan beberapa ahli utama mereka sedang bersiap sedia untuk kitaran pilihan raya separuh penggal 2026, dengan penyandang yang berpotensi terancam di negeri medan pertempuran seperti Georgia, North Carolina dan New Hampshire mengumpulkan dana.
Jawatankuasa Nasional Demokrat pula berbelanja besar dalam beberapa minggu selepas kekalahan parti itu pada 2024, membelanjakan lebih AS$56 juta (RM249.2 juta) untuk menampung perbelanjaan ibu pejabat, yuran guaman serta usaha mendapatkan maklum balas dan dana daripada pengundi mereka.
Pemfailan baharu dengan FEC pada Jumaat menunjukkan bahawa Musk telah menyumbangkan sekitar AS$11.2 juta (RM49.9 juta) kepada PAC utamanya iaitu America PAC, pada hari terakhir tahun itu - menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan politiknya untuk kitaran ini melebihi AS$290 juta (RM1.3 bilion), satu angka besar yang hanya disaingi oleh segelintir penderma mega lain.
Sumbangan akhir tahun Musk itu diperuntukkan untuk "insentif petisyen" yang berkaitan dengan pemberian hadiah jutaan dolar yang dianjurkannya melalui super PAC dalam minggu-minggu terakhir perlumbaan.
Hadiah-hadiah ini - yang bertujuan menggalakkan pendaftaran pengundi - menghadapi cabaran undang-undang, tetapi akhirnya dibenarkan untuk diteruskan. - Agensi