Elon Musk batal pembelian Twitter AS$44 bilion

Astro Awani
Julai 8, 2022 07:30 MYT
Musk berkata langkah itu diambil selepas syarikat gergasi media sosial itu gagal mengemukakan maklumat tentang akaun palsu di platform itu. - Foto REUTERS
KETUA Pegawai Eksekutif Tesla Inc Elon Musk mengumumkan beliau bakal membatalkan perjanjian AS$44 bilion bagi pembelian Twitter Inc pada Jumaat.
Dalam satu kenyataan, Musk berkata langkah itu diambil selepas syarikat gergasi media sosial itu gagal mengemukakan maklumat tentang akaun palsu di platform itu.
Susulan pengumuman itu, saham Twitter jatuh sebanyak tujuh peratus. April lalu Musk menawarkan AS$54.20 bagi setiap saham Twitter.
Peguam Musk memberitahu, Twitter gagal atau enggan bertindak kepada beberapa permintaan anak guamnya berkenaan maklumat tentang akaun palsu atau 'spam' yang terdapat di platform tersebut.
"Twitter telah memungkiri perjanjian dan dilihat membari maklumat palsu atau mengelirukan ketika membuat persetujuan penyatuan itu dibuat bersama Musk," katanya.
Maklumat ini penting bagi mengukur prestasi sebenar kedudukan syarikat tersebut.
Sementara itu, Twitter dalam reaksi segera memaklumkan akan saman Musk susulan tindakan membatalkan pembelian.
Sebelum ini Musk memberi amaran akan membatalkan pembelian itu jika Twitter gagal mengemukakan bukti bahawa jumlah akaun 'spam' atau 'bot' merangkumi lebih rendah daripada lima peratus keseluruhan pengguna perkhidmatan media sosial itu.
Bulan lalu Twitter memberikan Musk akses data 'firehose' syarikat itu yang mengandungi ratusan juta tweet harian pengguna.
#Elon Musk #Twitter #batal #saman
;