Elak membazir, pengetua berjiwa murni makan sisa makanan pelajar
Agensi
September 9, 2021 17:30 MYT
September 9, 2021 17:30 MYT
MEMBAZIR makanan bukanlah amalan yang baik, satu dunia cuba menerapkan nilai positif agar pembaziran makanan tidak berlaku.
Pelbagai cara dilakukan termasuklah kempen, nasihat, kesedaran dari peringkat sekolah dan banyak lagi.
Begitupun, seorang pengetua sekolah di China mempunyai cara tersendiri yang mungkin tidak pernah difikirkan orang lain, lapor asiaone.com.
Wang Yongxin, pengetua sekolah di Qiyang, wilayah Hunan mencetuskan perdebatan di negara tersebut dengan caranya itu namun apakah caranya?
Adakah melalui nasihat? Kempen? Memarahi atau mendenda pelajar? Tidak, bukan dengan cara sebegitu.
Satu video yang tular baru-baru ini menunjukkan Yongxin berdiri berhampiran tong sampah di kafeteria sekolah, menghalang pelajar membuang makanan di situ.
Bukan itu sahaja, selepas menghalang makanan itu daripada dibuang, lelaki tersebut bertindak memakan semua sisa makanan tersebut!
Beberapa pelajar yang berada berhampiran kemudian hanya mampu tersenyum malu dan kemudian makan semula makanan yang pada awalnya mereka mahu buang.
Bercakap kepada akhbar tempatan, Xiaoxiang Morning Post, Yongxin berkata dia hanya mahu mendidik pelajarnya supaya tidak membazir.
“Saya ingin memberi contoh kepada pelajar, memberitahu mereka bahawa adalah salah apabila membuang makanan. Apa saya buat bukan sahaja mengejutkan pelajar tetapi juga guru.
“Beberapa pelajar menghabiskan makanan mereka ketika melihat saya makan sisa rakan sekelas mereka.
“Sekarang ada di antara mereka yang secara sukarela memberitahu staf berapa banyak makanan yang mereka perlukan sekali gus membantu mengurangkan pembaziran,” katanya.
Walaupun beberapa orang memuji tindakan tersebut namun ada juga mengatakan ia hanyalah aksi untuk mendapatkan publisiti selain bimbang dengan risiko kesihatan.
“Bagus untuk berjimat, tetapi memakan sisa makanan orang lain adalah contoh buruk untuk mengawal wabak. Mungkin mereka harus memikirkan cara lain untuk mendidik para pelajar,” kata seorang pengguna Weibo.
Begitupun, komen sebegitu bukanlah masalah buat Yongxin.
“Semuanya dari dapur yang sama. Semua pelajar dan guru makan di sini. Saya menganggap pelajar adalah anak saya sendiri, jadi tidak ada kerisauan dalam fikiran saya,” ujarnya.