Elak kesesakan… jemaah haji ada pilihan guna teksi terbang
Dzulfitri Yusop
Jun 13, 2024 11:55 MYT
Jun 13, 2024 11:55 MYT
MEKAH: Kerajaan Arab Saudi melancarkan perkhidmatan teksi udara pandu sendiri sebagai projek perintis untuk jemaah haji pada musim haji tahun ini.
Menurut laporan SPA, teksi terbang elektrik itu akan mengangkut jemaah haji merentasi tapak suci, memudahkan pemindahan kecemasan dan bekalan perubatan dengan pantas, serta menghantar barangan.
Menteri Pengangkutan dan Perkhidmatan Logistik Saud, Saleh Nasser Al-Jasser berkata, teksi terbang itu adalah yang pertama di dunia yang dilesenkan oleh pihak berkuasa penerbangan awam.
Pada Rabu, Al-Jasser menyaksikan pelepasan kenderaan autonomi itu pada acara pelancaran yang turut dihadiri Presiden Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam (GACA) Abdulaziz Al-Duailej dan Timbalan Menteri Pengangkutan dan Perkhidmatan Logistik Rumaih Al-Rumaih.
Al-Jasser berkata, pelancaran teksi udara itu adalah sebahagian daripada usaha mengaplikasikan teknologi pengangkutan masa depan terkini dengan mengguna pakai model pengangkutan inovatif mesra alam yang menggunakan aplikasi kecerdasan buatan.
Ia selaras dengan objektif Strategi Pengangkutan dan Logistik Kebangsaan Arab Saudi yang mahu memodenkan sektor pengangkutan melalui pelancaran teknologi teksi udara, kereta elektrik dan kereta api hidrogen.
Al-Jasser berkata, kementerian sedang berusaha untuk meningkatkan mobiliti pintar dan membangunkan perundangan, undang-undang dan sistem yang membolehkan penggunaan teknologi moden.
Ia juga bertujuan menyediakan persekitaran eksperimen untuk memudahkan pengembangan teknologi pengangkutan masa hadapan.
Sementara itu, Al-Duailej pula berkata, teksi terbang itu adalah salah satu inisiatif paling penting dalam pelan hala tuju mobiliti udara termaju, bertujuan mengurangkan masa perjalanan penumpang dalam kawasan sesak, terutamanya semasa kecemasan, memudahkan pengangkutan barangan dan bekalan perubatan, pengawasan lengkap dan tugas pemeriksaan dengan cepat.
Teksi udara adalah antara 32 teknologi moden yang digunakan untuk menyantuni jemaah haji tahun ini.