Elak aktiviti fizikal berat selama 7 hari selepas terima vaksin COVID-19 - Kementerian Kesihatan Singapura
Bernama
Julai 5, 2021 06:05 MYT
Julai 5, 2021 06:05 MYT
SINGAPURA: Remaja dan belia berumur kurang 30 tahun disarankan menghindari aktiviti fizikal dalam tempoh tujuh hari selepas menerima vaksin COVID-19, sebagai langkah pencegahan lanjut, kata Kementerian Kesihatan Singapura.
Menurut kementerian, pada 3 Julai pihaknya dimaklumkan oleh Hospital Khoo Teck Puat (KTPH) mengenai kes seorang remaja tempatan berusia 16 tahun yang dirawat di jabatan kecemasan hospital itu selepas pengsan di rumah pada pagi yang sama.
"Pesakit kemudian dipindahkan ke Hospital Universiti Nasional (NUH) pada tengah hari dan dilaporkan kritikal di unit rawatan rapi," kata kementerian dalam satu kenyataan pada Isnin.
Kementerian menyatakan, remaja itu telah menerima dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech (Comirnaty) pada 27 Jun.
"Dia dinilai oleh petugas kesihatan terlatih dan didapati sesuai untuk vaksinasi COVID-19, dipantau di lokasi sekitar 30 minit selepas suntikan dan dalam keadaan yang baik.
"Dia juga sihat sepanjang lima hari setelah vaksinasi. Sebelum pengsan, remaja itu melakukan aktiviti angkat berat di gimnasium. Kementerian dimaklumkan dia mengangkat beban yang sangat berat, melebihi berat badannya."
Kementerian merujuk bahawa diagnosis awal keadaannya adalah serangan jantung yang berlaku di luar hospital.
"Ujian klinikal dan makmal sedang dijalankan untuk mengetahui puncanya," menurut kenyataan itu, sambil menambah kementerian juga akan bekerjasama dengan pasukan perubatan di NUH untuk menentukan sama ada ia berkaitan dengan vaksinasi COVID-19.
"Ini termasuk penelitian menyeluruh sama ada membabitkan miokarditis parah akut, iaitu keradangan otot jantung yang teruk yang mempengaruhi fungsi jantung, sebagai kemungkinan diagnosis," menurut kementerian itu lagi.
Kementerian menyatakan Jawatankuasa Pakar Vaksinasi COVID-19 akan memantau hasil penyelidikan.
"Jawatankuasa Pakar dan Pihak Berkuasa Sains Kesihatan (HSA) secara berasingan turut meneliti data tambahan dari dalam dan luar negara, yang berkaitan dengan kejadian ini," katanya.
Kementerian menyatakan ia bersetuju dengan cadangan Jawatankuasa Pakar dan HSA supaya individu yang diberi vaksin menghindari aktiviti fizikal yang berat selepas menerima dos vaksinasi COVID-19 pertama atau kedua.
-- BERNAMA
#remaja
#vaksin
#COVID-19
#Kementerian Kesihatan SIngapura
#aktiviti fizikal
#Hospital Khoo Teck Puat
#Pfizer-BioNTech
#angkat berat
#gimnasium
#dos pertama
#suntikan
#unit rawatan rapi
#Hospital Universiti Nasional
#jantung