El-Sisi, Biden setuju hantar bantuan ke Gaza melalui lintasan Karem Abu Salem
Bernama
Mei 25, 2024 22:12 MYT
Mei 25, 2024 22:12 MYT
PRESIDEN Mesir Abdel Fattah El-Sisi dan rakan sejawatannya dari Amerika Syarikat, Joe Biden telah bersetuju dalam satu panggilan telefon untuk membenarkan bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dihantar sementara melalui lintasan Karem Abu Salem ke Semenanjung Gaza.
Persetujuan itu dicapai semasa panggilan telefon antara El-Sisi dan Biden pada Jumaat, menurut kenyataan presiden Mesir.
"Kedua-dua presiden membincangkan situasi kemanusiaan yang teruk di Semenanjung Gaza, kekurangan keperluan hidup serta kekurangan bahan api yang diperlukan untuk mengendalikan hospital dan kedai roti.
"Kedua-dua presiden bersetuju untuk menyampaikan sejumlah bantuan kemanusiaan dan bahan api melalui lintasan Karem Abu Salem buat sementara waktu, sehingga mekanisme undang-undang dicapai untuk menghidupkan semula pintu sempadan Rafah dari pihak Palestin," menurut kenyataan itu.
Karem Abu Salem juga dikenali sebagai Kerem Shalom oleh Israel.
Sementara itu, presiden Mesir berkata presiden AS menyatakan penghargaan yang tinggi terhadap usaha intensif, tekun dan berterusan Mesir serta usaha perantaraan untuk mencapai gencatan senjata dan perjanjian damai di Semenanjung Gaza.
"Kedua-dua presiden bersetuju mengenai keperluan untuk meningkatkan usaha antarabangsa bagi memastikan proses rundingan berjaya dan mencapai kemajuan yang mengakhiri tragedi kemanusiaan berpanjangan yang dialami oleh rakyat Palestin," katanya.
Presiden Mesir berkata gesaan itu menekankan keperluan pelbagai usaha bersepadu untuk melaksanakan penyelesaian dua negara mengikut resolusi legitimasi antarabangsa.
Selain itu, kedua-dua presiden mengesahkan penolakan mereka terhadap semua cubaan untuk mengusir rakyat Palestin dari tanah mereka dan menyatakan sokongan mereka untuk semua cara yang bertujuan menghalang peningkatan dan penyebaran konflik.
Sementara itu, White House berkata Biden mengalu-alukan komitmen daripada El-Sisi untuk membenarkan aliran bantuan kemanusiaan yang disediakan oleh PBB melalui pintu sempadan itu yang akan membantu "menyelamatkan nyawa".
Biden juga menyatakan komitmen penuhnya untuk menyokong usaha membuka semula pintu sempadan Rafah dengan persetujuan yang boleh diterima oleh kedua-dua Mesir dan Israel, dan untuk itu presiden AS bersetuju untuk menghantar satu pasukan kanan ke Kaherah minggu depan untuk perbincangan lanjut.
-- BERNAMA