El Salvador: Pengiraan semula undi sahkan kemenangan Bukele
Bernama
Februari 20, 2024 18:38 MYT
Februari 20, 2024 18:38 MYT
BANDARAYA MEXICO: Pengiraan semula undi mengesahkan parti pemerintah Nuevas Ideas diketuai Nayib Bukele, memenangi 54 daripada 60 kerusi dalam pilihan raya parlimen El Salvador awal bulan ini, menurut suruhanjaya pilihan raya pada Isnin.
Hampir 30 peratus peti undi yang digunakan untuk pilihan raya presiden dan semua peti undi bagi pilihan raya parlimen pada 4 Feb terpaksa dikira semula, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Bukele memenangi pemilihan presiden dengan kira-kira 84 peratus undian.
Media tempatan melaporkan terdapat masalah seperti pertindihan undi apabila memuat naik data ke sistem elektronik.
Parti Perikatan Republikan Nasionalis (ARENA) berhaluan kanan dan Parti National Concertion masing-masing memenangi dua kerusi di Parlimen, manakala parti Christian Democratic dan VAMOS masing-masing memperoleh satu kerusi.
Bukele terkenal dengan tindakan kerasnya menentang jenayah dan pendekatan autoritarian.
-- BERNAMA