El Salvador jadi negara pertama di dunia iktiraf mata wang kripto sebagai sah diperlakukan

Agensi
September 7, 2021 15:15 MYT
Sebuah kedai gunting rambut di Santa Tecla, El Salvador menunjukkan simbol bitcoin, sebagai tanda menerima mata wang itu dalam urusan pembayarannya. - Reuters
SAN SALVADOR: El Salvador pada Selasa menjadi negara pertama di dunia yang menerima penggunaan matawang kripto (bitcoin) sebagai sah diperlakukan.
Langkah itu disifatkan sebagai kaedah menurunkan kos komisen bagi berbilion-bilion dolar yang dihantar pulang ke tanah air, namun golongan pengkritik bimbang ia hanya akan mencetuskan lebih banyak aktiviti pengubahan wang haram.
Perancangan itu diperkenalkan Presiden negara itu yang muda, berkarisma dan popular, Nayib Bukele. Ia bertujuan membenarkan rakyat El Salvador menjimatkan sejumlah AS$400 juta yang dibelanjakan setiap tahun dalam komisen kiriman wang, kebanyakannya dari Amerika Syarikat (AS).
Tahun lalu sahaja, nilai kiriman wang ke El Salvador menghampiri jumlah AS$6 bilion, atau 23 peratus dari keluaran dalam negara kasarnya, iaitu salah satu nisbah tertinggi di dunia.
Pungutan pendapat menunjukkan sebahagian rakyat negara itu agak skeptikal tentang penggunaan bitcoin dan khuatir tentang kestabilan mata wang kripto.
Pengkritik pula mendakwa langkah itu akan meningkatkan risiko kawal atur dan kewangan bagi institusi kewangan.
Namun, sebahagian lagi rakyat El Salvador berasa optimis.
“Ini akan membawa manfaat. Kami mempunyai keluarga di AS dan mereka boleh menghantar wang tanpa caj. Pihak bank mengenakan caj bagi wang yang dihantar dari AS ke El Salvador,” ujar pemilik kedai di El Zonte, Reina Isabel Aguilar.
El Zonte merupakan kawasan pinggir pantai yang mengadaptasi penggunaan bitcoin, dan berazam menjadikan pekan itu sebuah ekonomi bitcoin pertama di dunia.
Menjelang pelancarannya, pihak kerajaan sudah mula menyiapkan mesin pengeluaran wang (ATM) dengan dompet digital Chivo yang membolehkan mata wang kripto ditukar kepada dolar dan dikeluarkan tanpa komisen.
"Sama seperti semua inovasi, proses bitcoin El Salvador mempunyai keluk pembelajaran. Setiap jalan menuju masa depan adalah seperti ini dan tidak semuanya akan dicapai dalam masa sehari, atau dalam sebulan,” kata Bukele menerusi ciapan Twitter.
Pada Isnin, El Salvador membeli 400 mata wang kripto pertamanya, sekali gus melonjakkan secara sementara harga bitcoin setinggi 1.49 peratus, menjadi lebih dari AS$52,680. Nilai mata wang itu bagaimanapun memang diketahui sering berubah-ubah. Pada musim bunga April lalu, ia meningkat kepada lebih AS$64,000 dan merosot serendah AS$30,000 pada Mei.
Beberapa penganalisis bimbang langkah memperlakukan nilai bitcoin berbanding dolar AS mampu menjejaskan usaha El Salvador untuk memohon bantuan perjanjian kewangan lebih dari AS$1 bilion daripada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).
Selepas undang-undang bitcoin Bukele diluluskan, agensi penarafan Moody’s menurunkan kadar kepercayaan kredit El Salvador, selain situasi bon dolar negara itu kini berada dalam tekanan.
Namun, Bukele, yang tidak menjauhkan diri dri kontroversi itu. Menerusi Twitternya, dia menyatakan bahawa: “Kita perlu memecahkan paradigma masa lalu. El Salvador ada hak untuk bergerak menuju ke arah negara dunia pertama.”
#El Salvador #mata wang kripto #Bitcoin #ekonomi
;