Eksport kopi Vietnam catat rekod baharu
Bernama
November 9, 2022 15:20 MYT
November 9, 2022 15:20 MYT
HANOI: Di sebalik inflasi dan kesukaran dalam sektor perdagangan, eksport kopi Vietnam mencatat pertumbuhan kukuh, dan nilai eksport dijangka mencatat rekod AS$4 bilion tahun ini, menurut pakar.
Menurut Kementerian Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar (MARD) negara itu, eksport kopi dalam tempoh sembilan bulan pertama 2022 mencecah hampir AS$3.1 bilion, meningkat 37.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Harga kopi eksport meningkat hampir 22 peratus kepada purata kira-kira AS$2,280 setiap tan, lapor Agensi Berita Vietnam.
Data MARD menunjukkan Kesatuan Eropah (EU) terus menjadi pasaran terbesar kopi Vietnam dengan bahagian pasaran sebanyak 39 peratus untuk tempoh lapan bulan pertama tahun ini, mencecah hampir 490,700 tan metrik dengan nilai AS$1.1 bilion, iaitu peningkatan melebihi 27 peratus dalam jumlah (volume) dan lebih 54 peratus dalam nilai (value) berbanding tempoh yang sama setahun lalu.
Walaupun inflasi mencecah paras tertinggi 20 tahun, eksport kopi ke EU masih berkembang dengan baik.
Institut itu menekankan bahawa kopi merupakan komoditi penting, minuman yang sangat diperlukan di negara-negara Barat, dan pengurangan tarif daripada Perjanjian Perdagangan Bebas EU-Vietnam (EVFTA) juga membawa kelebihan yang besar kepada pengeksport kopi ke pasaran ini.
Selain EU, jumlah kopi yang dieksport ke pasaran lain turut mencapai pertumbuhan memberangsangkan, termasuk Rusia naik 17.3 peratus, UK meningkat 57.9 peratus, India meningkat 116 peratus dan Mexico melonjak 52 kali ganda.
-- BERNAMA