Eksport beras Vietnam melebihi lapan juta tan
Bernama
November 26, 2024 04:30 MYT
November 26, 2024 04:30 MYT
HANOI: Eksport beras Vietnam mencecah 8.05 juta tan setakat 15 Nov, menjana pendapatan sebanyak AS$5.05 bilion, menurut Jabatan Kastam Am.
Data menunjukkan, negara itu mengeksport 293,484 tan beras dalam tempoh separuh pertama November sahaja, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Menurut Kementerian Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar, jumlah eksport bagi tempoh sepuluh bulan pertama tahun ini hampir mencecah 7.8 juta tan bernilai AS$4.86 bilion, menandakan peningkatan sebanyak 10.2 peratus dari segi kuantiti dan 23.4 peratus dari segi nilai berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Filipina kekal sebagai pasaran terbesar Vietnam, didorong oleh permintaan tinggi dan menyumbang lebih 45 peratus daripada jumlah eksport keseluruhan.
Sehingga akhir Oktober, negara itu mengimport 2.91 juta tan beras dari Vietnam.
Pasaran utama lain termasuk Indonesia dan Malaysia, dengan Malaysia mencatatkan pertumbuhan nilai tertinggi dalam kalangan 15 destinasi eksport utama Vietnam, iaitu peningkatan sebanyak 2.3 kali ganda.
Pejabat Perdagangan Vietnam di Filipina menjangkakan import beras akan terus meningkat pada bulan-bulan terakhir tahun ini, didorong oleh peningkatan penggunaan domestik dan kerosakan pada hasil tuaian akibat bencana alam. - BERNAMA