Ekspedisi Greenland menemukan 'pulau penghujung utara dunia'
Agensi
Ogos 29, 2021 11:50 MYT
Ogos 29, 2021 11:50 MYT
COPENHAGEN: Sekumpulan saintis pada bulan lalu menjejakkan kaki ke sebuah pulau kecil di perairan luar Greenland, yang dipercayai pulau yang kedudukannya paling utara didunia.
Reuters melaporkan, pulau itu dikesan apabila litupan ais beralih.
Penemuan itu terjadi ketika negara-negara Artik seperti Amerika Syarikat (AS), Rusia, Kanada, Denmark dan Norway masih saling bersaing untuk menuntut wilayah kawalan ke atas Kutub Utara, khususnya di zon yang letaknya 700 kilometer ke utara. Pengawalan kawasan itu turut meliputi bahagian dasar laut, hak aktiviti perikanan dan laluan kapal yang kini terbuka akibat pencairan ais susulan perubahan iklim.
"Kami tidak merancang untuk menemukan pulau yang baharu, Kami hanya ke sana untuk mengumpulkan sampel," ujar pengembara kutub yang juga ketua penyelidikan Stesen Artik di Greenland, Morten Rasch.
Kumpulan saintis itu pada awalnya menyangka mereka tiba di Oodaaq, sebuah pulau yang ditemui pasukan penyelidikan Denmark pada tahun 1978. Namun, apabila mereka memeriksa kedudukan tersebut, baru mereka sedar bahawa mereka telah tiba di sebuah pulau lain di kedudukan 780 meter di barat laut.
"Semua orang gembira ketika kami menyangka bahawa kami telah tiba di Pulau Oodaaq. Ini seperti pengembara pada masa lalu, yang menyangka mereka menjejakkan kaki di sebuah lokasi, namun akhirnya menyedari ia adalah tempat berbeza," kata pemilik Leister Foundation berbangsa Swiss, yang menaja ekspedisi itu.
Pulau kecil itu, dengan ukuran rentas 30 meter dan terdapat sebuah puncak setinggi 3 meter, memiliki dasar laut berlumpur dan moraine - iaitu sisa mendapan dan batuan hasil dari pergerakan glasier. Pasukan itu mencadangkan ia dinamakan 'Qeqertaq Avannarleq' yang bermaksud 'pulau paling utara' dalam bahasa Greenland.
Beberapa ekspedisi AS pernah dijalankan di kawasan itu beberapa dekad lalu untuk mencari kewujudan pulau tersebut. Pada 2007, veteran Artik Dennis Schmitt menemukan sebuah pulau seumpamanya di lokasi berdekatan.
Profesor dan ketua geodinamik Institut Angkasa Kebangsaan Denmark, Rene Forsberg berkata, kawasan utara Greenland memiliki antara lapisan ais di laut yang paling tebal. Tambahnya, kini ketebalannya adalah sekitar 2 hingga 3 meter pada musim panas, berbanding 4 meter ketika dia kali pertama menyertai ekspedisi yang menemukan Pulau Oodaaq pada 1978.
Sebarang harapan untuk meluaskan wilayah di Artik bergantung kepada sama ada benar itu sebuah pulau ataupun beting yang mungkin hilang semula. Sesebuah pulau perlu kekal berada di atas permukaan laut ketika air pasang.
"Ia memiliki kriteria sebuah pulau. Setakat ini, inilah pulau di penghujung paling utara di dunia," dakwa Forsberg.
Begitupun Forsberg, yang juga penasihat kerajaan Denmark, berkata penemuan itu tidak akan mengubah tuntutan wilayah negara itu di utara Greenland.
"Pulau-pulau kecil sebegini datang dan pergi," ujarnya.
Penemuan itu kali pertama dilaporkan pada Jumaat lalu dalam akhbar Denmark, Weekendavisen.
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!