Eksekutif OpenAI jangka manusia akan terus kawal AI

Bernama
Ogos 12, 2024 11:10 MYT
Jason Kwon menjangkakan manusia akan terus mengawal kecerdasan buatan (AI), menepis kebimbangan mengenai perkembangan teknologi yang pesat tanpa kawalan. - Gambar hiasan/ Amanz
SEOUL: Ketua Pegawai Strategi OpenAI, Jason Kwon, pada Isnin berkata beliau menjangkakan manusia akan terus mengawal kecerdasan buatan (AI), menepis kebimbangan mengenai perkembangan teknologi yang pesat tanpa kawalan.
Kwon berkata pada forum AI di Seoul bahawa mencari cara untuk manusia mempunyai kawalan ke atas AI adalah perkara yang berada di "teras keselamatan AI."
"Tetapi dalam hal kerja sebenar untuk memahami bagaimana sistem ini berfungsi dan bagaimana mengawalnya, perkara yang kami dapati sebenarnya ialah apabila sistem ini menjadi lebih berkemampuan, ia juga menjadi lebih mudah dikawal dalam banyak cara," kata Kwon, menurut agensi berita Yonhap.
Kwon berkata OpenAI sedang berusaha untuk mewujudkan rangka kerja di mana negara-negara berbeza boleh menentukan bagaimana sistem ini boleh mencerminkan nilai budaya mereka.
"Salah satu perkara yang sentiasa kami fikirkan adalah bagaimana kami, sebagai pemaju model, dapat masuk ke dalam setiap negara dan menyediakan peralatan kami dan membuatkan sesuatu tempat itu merasakan bahawa model berkenaan adalah untuk mereka," katanya.
Mengenai pandangan skeptikal bahawa gelembung AI akan pecah, Kwon berkata beliau optimis mengenai masa depan dan percaya teknologi itu akan mengikuti laluan yang sama seperti Internet, yang kini menjadi alat penting untuk manusia.
"Kami masih berada di peringkat awal. ... Kami mempunyai lebih 50 juta orang di Korea Selatan, dan pada ChatGPT sendiri, kami hanya mempunyai 1 juta pengguna aktif harian.
"Malah di Amerika Syarikat, saya rasa kurang daripada 20 peratus populasi di sana telah mencuba alat berkenaan," katanya.
-- BERNAMA
#OpenAI #kecerdasan buatan #kawal manusia #Jason Kwon