Ekonomi UK alami 'kemerosotan dramatik' selepas Brexit

Agensi
Julai 22, 2016 22:32 MYT
Kesan tersebut adalah tamparan awal selepas referandum Brexit pada 23 Jun lalu. - Gambar fail
Ekonomi Britain menerima tamparan awal selepas undian Brexit bulan lalu, dan kini berdepan ‘kemerosotan dramatik’ berikutan permintaan yang berkurangan dan pelaburan perniagaan terbantut.
Agensi berita AFP melaporkan, pemerhatian berdasarkan data penting pada Jumaat itu adalah petunjuk pertama penguncupan ekonomi sejak langkah mengejut Britain keluar dari Kesatuan Eropah (EU).
Maklumat itu didedahkan pada penghujung minggu ketika Perdana Menteri Theresa May menjelajah Perancis dan Jerman untuk ‘menenangkan’ situasi selepas Brexit.
Aktiviti perniagaan sektor swasta, seperti yang dinilai kumpulan Markit melalui Indeks Pengurus Pembelian (PMI), menjunam kepada 47.7 pada Julai.
Ia adalah yang terendah sejak April 2009 yang ketika tu berdepan krisis kewangan global, sekali gus mencetus ramalan sesetengah pihak tentang kemelesetan ekonomi teruk.
Bacaan awal itu dibandingkan dengan 52.4 mata pada bulan Jun.
Menurut Markit, kesan tersebut berlaku apabila banyak permintaan yang dibatalkan, ketiaaan permintaan baharu atau penangguhan projek.
“Ekonomi kami telah terkesan selepas undian referandum, yang meninggalkan impak pada keyakinan,” ujar Menteri Kewangan baharu, Philip Hammond, dalam satu temu bual dengan stesen televisyen Sky News.
Tambahnya, mereka bertanggungjawab untuk mengembalikan keyakinan secepat mungkin.
#Brexit #ekonomi Britain #ekonomi merosot #impak perniagaan
;