Ekonomi Thailand tumbuh 2.5 peratus suku kedua

Agensi
Ogos 15, 2022 18:33 MYT
Thailand meneruskan pemulihan pasca pandemik COVID-19 yang disokong peningkatan eksport dan pemulihan sektor pelancongan. - Gambar hiasan Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi Bangkok
BANGKOK: EKONOMI Thailand tumbuh 2.5 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2022, berbanding 2.2 peratus yang direkodkan pada suku pertama, menurut Majlis Pembangunan Sosial dan Ekonomi Kebangsaan (NESDC).
Angka itu menunjukkan negara berkenaan meneruskan pemulihan pasca pandemik COVID-19 yang disokong peningkatan eksport dan pemulihan sektor pelancongan, antara nadi ekonomi negara itu.
Bagaimanapun, angka pertumbuhan suku kedua kurang dari unjuran 16 pakar ekonomi yang dikaji Reuters iaitu pada 3.1 peratus.
Berdasarkan angka ekonomi dua suku berkenaan, Thailand merekodkan pertumbuhan 2.4 peratus bagi separuh pertama 2022.
Menurut SEDC, pertumbuhan suku kedua disokong terutamanya oleh eksport tinggi yang merangkumi 60 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pemulihan industri pelancongan yang menyumbang 15 peratus KDNK.
“Faktor utama pemulihan adalah langkah kerajaan melonggarkan syarat kemasukan berkaitan COVID-19 bagi mempromosi pelancongan, yang mana pada akhirnya berjaya menarik kemasukan pelancong,” menurut Setiausaha Agung NESDC, Danucha Pichayanan.
Eksport Thailand pada Jun melonjak 11.9 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, melibatkan nilai AS$ 26.5 bilion, sekali gus menjadikan eksport separuh tahun pertama pada AS$149 bilion.
Sejak Januari 2022, sejumlah 348,699 pelancong memasuki Thailand, berbanding 427,869 yang direkodkan untuk setahun penuh 2021.
Bank of Thailand menjangkakan pertumbuhan 3.3 peratus bagi 2022 dipacu prospek positif eksport dan pelancongan.
Inflasi Thailand mencecah 7.61 peratus pada Julai, paras 14 tahun tertinggi, dipacu peningkatan harga bahan bakar dan harga makanan, sekaligus memaksa bank pusat meningkatkan kadar faedah untuk kali pertama dalam tempoh empat tahun.
#ekonomi Thailand #pasca pandemik #pelancongan Thailand #Majlis Pembangunan Sosial dan Ekonomi Kebangsaan
;