Ekonomi Mesir masih tidak berubah

Astro Awani
Januari 28, 2013 08:06 MYT
Dua tahun lalu ribuan rakyat Mesir yang mengadakan tunjuk perasaan di seluruh negara dengan satu tekad menjatuhkan regim Hosni Mubarak untuk meningkatkan taraf dan menamatkan pemerintahan yang didakwa kuku besi.
Namun harapan tinggal harapan, setelah dua tahun regim Hosni Mubarak digulingkan, kedudukan ekonomi dan kualiti kehidupan tidak berubah malah lebih teruk.
Kejatuhan Hosni hasil protes jalanan bukan sahaja mengakibatkan peningkatan kadar pengangguran, malah kehidupan rakyatnya semakin sempit.
Harga barangan keperluan semakin meningkat pada masa sama rakyat khuatir dengan jangkaan kerajaan bakal menaikan kadar cukai.
Hutang negara dilaporkan bertambah kepada 300 juta USD, matawang Pound Mesir pula semakin susut nilainya sementara jumlah pelancong susut 50 peratus.
Semua ini terjadi setelah tahap keselamatan di Mesir semakin sukar dikawal walaupun perjuangan menumbangkan Hosni mencapai kejayaan.
Kerajaan pemimpin Presiden Mohamad Morsi kini meminta pembiyaan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa untuk melonjakkan semula ekonominya.
Pinjaman bersyarat ini bakal menyaksikan negara yang dahulunya bebas dan berdaulat, kini terpaksa mengikuti telunjuk barat, mengadakan langkah penjimatan seperti pemotong subsidi dan penambah kada cukai.
Penganalisis ekonomi bimbang, langkah ini bakal menjerut rakyat Mesir, yang dua tahun lalu pernah bangkit menuntut pembaharuan politik kini dilihat semakin menderita.
Mereka menganggap, pentadbiran yang dikatakan berlandaskan islam yang dijanjikan Morsi semasa kempen pemilihan presiden dahulu hanya retorik semata-mata.
Sementara kerajaan menyatakan, ia mewarisi sebuah kerajaan yang korup, justeru memerlukan masa lebih lama untuk mewujudkan kesejahteraan kepada rakyatnya.
#Bank Dunia #ekonomi #Hosni Mubarak #Mesir #Morsi
;