Ekonomi kukuh, tiada keperluan turunkan segera kadar dana - Pengerusi Fed AS
Bernama
Februari 12, 2025 18:45 MYT
Februari 12, 2025 18:45 MYT
Pada mesyuarat Januari, Fed mengekalkan kadar dasar dalam julat 4.25 peratus hingga 4.5 peratus selepas melakukan pemotongan sebanyak satu mata peratusan penuh dalam tiga mesyuarat terakhir 2024. - Gambar fail/ Reuters
WASHINGTON: Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) tidak tergesa-gesa untuk menurunkan kadar dana persekutuan berikutan kekuatan ekonomi semasa, kata Pengerusi Fed Jerome Powell pada Selasa, lapor Xinhua.
"Dengan dasar kami kini semakin longgar berbanding sebelum ini dan ekonomi kekal kukuh, kami tidak perlu tergesa-gesa menyelaraskan dasar ini," katanya dalam sesi pendengaran di hadapan Jawatankuasa Perbankan Senat.
Beliau berkata mengurangkan sekatan dasar terlalu cepat atau terlalu banyak boleh menjejaskan kemajuan dalam menangani inflasi.
"Keadaan pasaran buruh telah reda daripada tahap terlalu panas sebelum ini dan kekal stabil. Inflasi telah menghampiri sasaran jangka panjang dua peratus kami, walaupun ia masih sedikit tinggi," katanya.
Pada mesyuarat Januari, Fed mengekalkan kadar dasar dalam julat 4.25 peratus hingga 4.5 peratus selepas melakukan pemotongan sebanyak satu mata peratusan penuh dalam tiga mesyuarat terakhir 2024.
"Pelarasan dasar kami itu adalah wajar berdasarkan perkembangan mengenai inflasi dan pasaran buruh yang mereda," kata Powell.
Beliau berkata Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan akan menilai data terkini, prospek ekonomi serta keseimbangan risiko.
"Sewajarnya dengan perkembangan ekonomi, kami akan menyesuaikan dasar bagi memastikan matlamat guna tenaga maksimum dan kestabilan harga terus dipacu dengan sebaiknya," katanya.
--BERNAMA-XINHUA