Ekonomi kian meruncing meskipun keselamatan di Afghanistan pulih

Bernama
Februari 15, 2022 14:48 MYT
Dalam era pasca perang, rakyat Afghanistan berharap melihat lebih banyak pelaburan untuk pembinaan semula negara. - AP
KABUL: Peristiwa pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) dan Taliban mengambil alih tampuk pemerintahan pada Ogos 2021 menyaksikan peperangan di Afghanistan berakhir - suatu perkembangan yang disambut baik rakyatnya.
Bagaimanapun, krisis ekonomi semakin parah, dengan kemiskinan melanda seluruh negara itu.
"Sejujurnya, negara ini aman sejak enam bulan lalu, kerana hampir tiada pertempuran berlaku.
"Malangnya, sebahagian rakyat meninggalkan Afghanistan kerana kegawatan ekonomi," kata penganalisis politik dan bekas kakitangan kerajaan Liluma Nuri.
"Kami boleh pergi dari satu tempat ke tempat lain meskipun pada tengah malam," kata penjual sayur-sayuran di Kabul, Noor Aqa kepada Xinhua.
"Apabila tentera AS berundur, Washington mengenakan sekatan ke atas pentadbiran baharu Afghanistan, membekukan aset bank pusat bernilai lebih US$9 bilion, sekali gus menyebabkan krisis ekonomi dan kemiskinan.
"Kehidupan kami selamat tetapi malangnya kami bergelut mendapatkan naan (roti tradisional) kerana masalah ekonomi menyelubungi semua," kata penduduk Kabul Abdul Sami.
Timbalan jurucakap pentadbiran Taliban, Inammullah Samangani berkata kerajaannya telah bekerja keras menstabilkan ekonomi.
Samangani menyalahkan Washington atas keadaan ekonomi yang parah di Afghanistan.
Beliau mengkritik keputusan AS memperuntukkan AS$3.5 bilion aset Afghanistan kepada mangsa serangan pengganas 9/11 tanpa persetujuan pentadbiran Taliban.
Keputusan berkenaan termasuk rizab pertukaran asing Afghanistan adalah tergesa-gesa dan tidak adil, menunjukkan AS tidak bermoral, kata Samangani.
Dalam era pasca perang, rakyat Afghanistan berharap melihat lebih banyak pelaburan untuk pembinaan semula negara.
"Memandangkan keselamatan terjamin di seluruh Afghanistan, syarikat nasional dan antarabangsa boleh melabur," kata pakar ekonomi Abdul Nasir Rushtia.
-- BERNAMA
#Afghanistan #ekonomi #Amerika Syarikat #sekatan ekonomi
;