Ekonomi India terjejas akibat undang-undang kewarganegaraan baru
Astro Awani
Disember 14, 2019 06:00 MYT
Disember 14, 2019 06:00 MYT
Ribuan penyokong Parti Kongres India berkumpul di New Delhi pada Sabtu bagi mendengar ucapan pemimpinnya mengenai pindaan rang undang-undang kewarganegaraan yang diluluskan penggubal pada awal minggu ini.
Ia berikutan kontroversi Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Kewarganegaraan (CAB) yang bertujuan memberi kewarganegaraan kepada pelarian bukan Islam dari tiga negara Islam yang berjiran dengan India.
RUU tersebut telah diluluskan pada Isnin.
Dalam masa sama, ia perlu ditandatangani oleh ketua negeri sebagai tanda formaliti.
Pada awalnya, RUU itu diperkenalkan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi berikutan kejayaannya pada pilihan raya Mei lalu.
Bagaimanapun, pemimpin Parti Kongres, Rahul Gandhi yang berucap pada perhimpunan tersebut menggesa Modi dan Menteri Dalam Negeri Amit Shah memohon maaf kepada rakyat kerana memperkenalkan undang-undang tersebut.
Pada masa sama, Gandhi mendakwa tindakan yang dibuat Modi itu hanya akan memusnahkan ekonomi India.
"Ekonomi India telah dimusnahkan oleh Modi. Masih ingat beliau muncul di kaca televisyen pada jam 8 petang (waktu tempatan) dan bercakap tentang nota mata wang 500 rupiah dan 1,000 rupiah yang akan disemak semula," kata Gandhi merujuk kepada penyataan nota mata wang India yang bernilai 500 dan 1000 yang dihentikan penggunaannya oleh Modi pada 8 Nov 2016.
"Luka yang dibuat oleh Modi terhadap ekonomi negara masih belum pulih sehingga hari ini," tambahnya.
#ekonomi
#India
#Islam
#kerajaan
#Narendra Modi
#negara Islam
#negara jiran
#New Delhi
#Parti Kongres India
#pelarian bukan Islam
#pilihan raya
#Rahul Gandhi
#rakyat
#undang-undang
#warganegara