Ekonomi Filipina paling pesat di Asia Tenggara, pinggirkan Malaysia, Vietnam

Nabilah Khaleeda
Februari 2, 2024 10:45 MYT
Ferdinand Marcos Jr. (kanan) menjadi Presiden Filipina sejak Jun 2022 dan membawa pelbagai inisiatif ekonomi kepada republik itu. - Foto Facebook/Bongbong Marcos
KUALA LUMPUR: Filipina mengatasi Vietnam dan Malaysia untuk menjadi ekonomi yang paling pesat berkembang di Asia Tenggara pada 2023, dengan pertumbuhan dipacu kepenggunaan, perkhidmatan dan pelaburan.
Menurut kajian ahli ekonomi Bloomberg, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu meningkat 5.6 peratus, melebihi pertumbuhan median 5.5 peratus.
Ekonomi berkembang pada kadar sama berbanding setahun lalu pada suku akhir tahun, manakala pada asas suku ke suku, ia mencatatkan 2.1 peratus.
Bursa saham Filipina (PSE) memperluaskan keuntungannya kepada lebih daripada 1 peratus selepas data tersebut dikeluarkan, namun mata wang Peso mengekalkan kerugian, susut 0.1 peratus berbanding dolar AS.
Walaupun kerajaan mengunjurkan kadar pertumbuhan tahunan enam hingga tujuh peratus, ia adalah kadar pertumbuhan terpantas di rantau Asia Tenggara setakat ini, mengatasi prestasi Vietnam 5.05 peratus.
Manakala ekonomi Malaysia yang mencatatkan pertumbuhan terpantas di Asia Tenggara pada tahun 2022 dengan kadar 8.7 peratus, berkemungkinan menyederhana kepada 3.8 peratus pada 2023.
Indonesia dan Thailand dijangka akan melaporkan data ekonominya bulan depan.
Setiausaha Perancangan Ekonomi Filipina, Arsenio Balisacan, berkata kerajaan yakin bahawa ekonomi republik itu akan berkembang pada kadar 6.5 hingga 7.5 peratus pada tahun 2024.
"Ia sekali gus membantu Filipina mengekalkan kedudukan pertumbuhan teratas rantau ini," tambahnya.”
Kenyataan tersebut menggambarkan keyakinan Presidennya, Ferdinand Marcos Jr tentang prospek ekonomi yang didorong kepenggunaan, dengan penurunan inflasi dan bank pusat menghentikan salah satu siri kenaikan kadar faedah paling agresif di rantau ini.
"Namun, untuk mengekalkan prestasi cemerlang ini memerlukan usaha yang besar oleh kerajaan, memandangkan penggubal dasar monetari tidak mungkin melonggarkan kadar faedah dalam masa terdekat dengan risiko harga yang masih ada,” tambah Balisacan.
Negara Asia Tenggara, yang menyumbang kira-kira 75 peratus kepenggunaan kepada KDNK, juga berdepan risiko geopolitik yang semakin meruncing di tengah-tengah ketegangan dengan China berkenaan Laut China Selatan.
Kecelaruan politik domestik juga meningkat ketika Marcos dan pendahulunya Rodrigo Duterte bertukar tuduhan penggunaan dadah minggu ini.
"Mana-mana negara yang mengalami ketidakstabilan politik akan menjejaskan ekonominya," kata Balisacan mengulas tentang konflik antara Marcos dan Duterte.
Walaupun perbelanjaan kerajaan merosot 1.8 peratus sejajar dengan usaha konsolidasi fiskal, Balisacan berkata beliau menjangkakan pengembangan perkhidmatan akan terus memacu trajektori pertumbuhan ekonomi.
Menurut Ketua Ekonomi Security Bank, Robert Dan Roces, walaupun kepenggunaan kekal berdaya tahan, ekonomi global yang lembap, inflasi yang tinggi, dan kadar faedah menghalang peningkatan signifikan dalam prospek pertumbuhan tahun ini.
"Momentum pertumbuhan kini bergantung kepada perbelanjaan kerajaan.
"Walaupun inflasi Filipina pada Disember berada dalam julat sasaran bank pusat negara itu, dua hingga empat peratus selepas 21 bulan, kenaikan kadar faedah tidak mampu mengekang kenaikan harga makanan.
"Sebarang pengetatan lanjutan oleh bank pusat boleh memberikan impak negatif kepada prose pemulihan ekonomi yang diterajui oleh sektor kepenggunaan," katanya.
Pada awal Januari lalu, Gabenor Eli Remolona memberi indikasi pertumbuhan ekonomi yang kukuh membuka peluang kepada penggubal dasar sedikit ruang untuk menaikkan kadar faedah.
#Filipina #Vietnam #ekonomi #geopolitik #KDNK
;