Ekonomi China atasi Amerika Syarikat pada 2028 - CEBR

Nailah Huda
Disember 28, 2020 10:51 MYT
CEBR melihat 'pengurusan cekap' China dalam menangani wabak COVID-19 membantu mempercepatkan perjalanannya menjadi kuasa ekonomi utama dunia. - Gambar fail REUTERS
KUALA LUMPUR: Ekonomi China akan mengatasi ekonomi Amerika Syarikat pada 2028, lima tahun lebih awal berbanding 2033 yang diunjurkan Centre for Economics and Business Research (CEBR) sebelum ini.
Unjuran itu berikutan kesan pandemik COVID-19 yang mengimbangkan momentum ekonomi antara Asia, yang berprestasi lebih baik, dan Eropah, yang semakin merudum.
“Secara umumnya, Asia berjaya menangani isu (pandemik), manakala Eropah dan rantau Amerika tidak seberapa,” kata CEBR dalam laporan tahunan yang dikeluarkan pada Sabtu.
Walaupun menjadi negara pertama dilanda wabak COVID-19, CEBR melihat “pengurusan cekap” China menangani wabak itu bantu mempercepatkan perjalanannya menjadi kuasa ekonomi utama global.
“Untuk beberapa ketika, tema menyeluruh ekonomi global dibayangi pergelutan ekonomi dan kuasa lunak (soft power) antara AS dan China.
“Pandemik COVID-19 dan kesan ekonomi susulan itu telah memanfaatkan China dalam persaingan ini," menurut kumpulan pemikir itu yang berpangkalan di London.
Situasi di China berbeza daripada Amerika Syarikat yang kekal sebagai negara paling teruk terjejas dengan penularan kes yang telah mengorbankan lebih 330,000 orang.
Walaupun Amerika akan beransur pulih pasca pandemik pada 2021, namun pertumbuhan ekonomi diunjur perlahan sehingga 1.9 peratus setiap tahun antara 2022 dan 2024.
Dinamik ekonomi baharu di Asia
India akan menjadi ekonomi ketiga terbesar dunia pada 2030, sekaligus mengambil tempat Jepun ketika ini dalam senarai ranking World Economic League Table (WELT) oleh CEBR.
Jerman yang berada di tangga ke-empat pada ranking WELT turut dijangka diganti oleh India pada 2027.
Secara keseluruhan, impak pandemik kepada ekonomi global akan menjurus kepada kadar inflasi untuk meningkat, bukan pertumbuhan yang perlahan.
“Kami dapat melihat kitaran ekonomi dengan kadar faedah meningkat pada pertengahan 2020-an,” kata laporan itu.
Pada masa sama, situasi itu dijangka akan menyokong beberapa tren yang bakal menjadikan dunia lebih berasaskan teknologi dan kelestarian alam sekitar.
#CEBR #Centre for Economics and Business Research #World Economic League Table #WELT #ekonomi #China #Amerika Syarikat #Donald Trump #India #Jepun #Jerman #perdagangan #COVID-19 #kuasa ekonomi
;