Ehud Olmert didapati bersalah tuduhan rasuah

Agensi
April 1, 2014 08:00 MYT
Sebuah mahkamah di Tel Aviv memutuskan bekas Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert bersalah atas tuduhan rasuah melibatkan sebuah projek pembangunan hartanah di Baitulmaqdis, dalam skandal penyelewengan yang terburuk dalam sejarah Israel.
Selepas perbicaraan yang memakan masa lebih dua tahun, Hakim Mahkamah Daerah Tel Aviv, David Rosen mendapati Olmert sabit dua tuduhan rasuah.
Ini adalah kali pertama bekas perdana menteri Israel disabitkan kesalahan jenayah.
Perbicaraan itu yang mendengar keterangan daripada 16 saksi menyentuh tentang pembinaan komplek perumahan Holyland semasa Olmert jadi datuk bandar Baitulmaqis.
Pada 2010, Olmert dinamakan sebagai suspek utama dalam skandal Holyland atas dakwaan dia menerima beratus ribu shekel untuk membantu pemaju mendapatkan kelulusan perancangan dan undang-undang projek berkenaan.
Projek menara itu juga dilihat sebagai tompok hitam kepada landskap Tel Aviv dan dikecam sebagai simbol penyelewengan peringkat tinggi.
"Kita bercakap tentang rasuah dan amalan jijik," kata hakim itu dalam penghakiman setebal 700 halaman yang turut menyelar Olmert sebagai pembohong.
Olmert dilaporkan duduk mendengar penghakiman itu tanpa memberikan sebarang reaksi sepanjang hakim itu menyentuh dengan panjang lebar tentang "sistem politik yang korup yang telah terhakis sejak bertahun-tahun… apabila beratus ribu shekel dipindah kepada wakil rakyat."
Menurut penghakiman itu, Olmert menerima secara peribadi rasuah sebanyak lebih kurang RM480,000 yang kebanyakannya diberikan kepada adiknya, Yossi sebagai orang tengah yang kemudiannya jadi saksi pendakwa.
Tarikh menjatuhkan hukuman belum ditetapkan. Mahkamah juga mengarahkan kedua-dua pihak pendakwa dan peguam bela untuk membuat hujahan bermula pada 28 April ini dalam proses yang mungkin mengambil masa beberapa minggu.
Olmert sebelum ini pada Julai 2012 didapati bersalah atas tuduhan pecah amanah tetapi bebas daripada duatuduhan lain yang lebih serius menyentuh dakwaan menerima sampul surat berisi wang tunai serta beberapa pembiayaan ke luar negara.
Olmert merupakan datuk bandar Baitulmaqdis antara 1993 hingga 2003 sebelum jadi menteri kabinet yang memegang beberapa portfolio termasuk sebagai menteri perdagangan dan industri.
Dia jadi perdana menteri pada 2006 tetapi meletakkan jawatan pada September 2008 selepas polis mengumumkan dia akan didakwa atas beberapa tuduhan rasuah. -- Agensi
#Ehud Olmert #Israel #mahkamah #Rasuah
;