EgyptAir MS804: Nasib pesawat, penumpang masih jadi tanda tanya

Astro Awani
Mei 20, 2016 11:25 MYT
Selepas hampir 24 jam gagal dikesan radar, nasib pesawat dengan 66 penumpang termasuk anak kapal masih belum diketahui.
Selepas hampir 24 jam gagal dikesan radar, nasib pesawat EgyptAir yang membawa 66 penumpang termasuk anak kapal masih belum diketahui.
Biarpun sebelum ini Mesir memaklumkan penemuan serpihan yang mengesahkan pesawat itu terhempas, laporan itu kemudian dinafikan.
Pihak berkuasa Mesir dan Greece pula mengeluarkan kenyataan berbeza.
Naib presiden syarikat penerbangan EgyptAir, Ahmed Adel memaklumkan serpihan yang dijumpai, termasuk jaket keselamatan, bukan daripada pesawat 804.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Greece Panos Kammenos memaklumkan pesawat jenis Airbus A320 itu berpusing 90 darjah ke kiri dan kemudian 360 darjah ke kanan, sebelum jatuh dari ketinggian 37,000 kaki ke 15,000 kaki dan isyaratnya hilang pada ketinggian 10,000 kaki.
Operasi menyelamat besar-besaran kini dijalankan pasukan dari Mesir, Greece, Perancis dan tentera Britain di kawasan kepulauan Karpathos, Greece.
Dalam pada itu, spekulasi kini tertumpu kepada punca situasi yang menimpa pesawat berkenaan.
Menteri Penerbangan Mesir Sharif Fathi tidak menafikan pesawat berkenaan kemungkinan besar menjadi mangsa serangan pengganas.
Siasatan turut tidak menolak kemungkinan berlaku masalah teknikal hingga menyebabkan pesawat itu hilang dari radar.
Kenyataan itu turut senada dengan penganalisis penerbangan Miles O’Brien.
Pesawat MS804 berlepas dari Paris pukul 11 malam waktu tempatan pada Rabu dan dijadualkan tiba di Kaherah pada jam 3 pagi waktu tempatan.
Pegawai penerbangan Greece mengesahkan pengawal trafik udara berkomunikasi dengan juruterbang selepas pesawat memasuki ruang udara negara itu.
Pengawal trafik udara bagaimanapun gagal menghubungi pesawat berkenaan ketika ia sepatutnya memasuki ruang udara Mesir.
Pesawat kemudian disahkan gagal dikesan radar.
#Ahmed Adel #Airbus A320 #EgyptAir #Pesawat Hilang
;