EgyptAir hilang: Pesawat berpusing secara tiba-tiba pada ketinggian 22,000 kaki
AFP
Mei 19, 2016 20:30 MYT
Mei 19, 2016 20:30 MYT
Pesawat EgyptAir MS804 bersama 66 penumpang yang hilang dari radar pada Khamis jatuh dari ketinggian 22,000 kaki dan berpusing dengan tiba-tiba di ruang udara Mesir sebelum hilang dari skrin radar, kata Menteri Pertahanan Greece.
"Pesawat itu berpusing 90 darjah ke kiri dan kemudiannya berpusing 360 darjah ke kanan, sebelum jatuh dari ketinggian 37,000 kaki ke 15,000 kaki dan isyaratnya hilang pada ketinggian 10,000 kaki," Panos Kammenos memberitahu media dalam satu sidang akhbar.
"Buat masa ini pesawat itu masih hilang. Tiada petunjuk jelas dari pencarian setakat ini," katanya.
Pesawat malang itu dalam perjalanan dari Paris ke Cairo dan dipercayai hilang kira-kira 130 batu nautika dari Pulau Karpathos, antara Crete dan Rhodes.
Juruterbang ada menghubungi pengawal udara Greece 25 minit sebelum hilang, namun tidak melaporkan sebarang masalah.
Kenyataan dari Jabatan Penerbangan Awam memaklumkan juruterbang kedengaran "ceria dan berterima kasih apabila diberi pelepasan untuk keluar dari ruang udara Athens".
"Pesawat itu juga tidak dikesan melencong dari arah koordinat yang diberi," kata Ketua Jabatan Penerbangan Awam, Constantinos Litzerakos kepada Antenna TV.
LAPOR LANGSUNG: Pesawat EgyptAir MS804 disahkan 'terhempas'
Pihak berkuasa udara Greece dan pihak tentera udara juga belum dapat memastikan kebenaran laporan yang mendakwa sebuah kapal melihat "satu bebola api terbang di udara".
Litzerakos berkata jika pesawat itu meletup, serpihannya akan bertaburan dalam satu kawasan yang luas.